Agensi

Jakarta: Seorang lelaki di sebuah kampung terpencil di Jawa Barat merayu bantuan bagi mengubati satu ketumbuhan seperti belalai gajah di matanya.

Keadaan menimpa Herdi Firmansyah, 34, berasal dari kampung Wanakerta di Jawa Barat itu mengakibatkan dia hilang penglihatan pada mata kanannya.

Lebih malang lagi ketumbuhan itu semakin memanjang menyebabkan Herdi dipinggirkan penduduk kampung yang takut melihat wajahnya.

Herdi juga sukar bercakap dan makan kerana ketumbuhan hampir menutup mulut dan hidungnya.

Ibunya, Mariah, 77, berkata, Herdi lahir normal seperti bayi lain tetapi selepas tiga bulan satu ketulan kecil tumbuh di kelopak mata kanannya.

“Ketumbuhan itu sudah dibuang sebanyak lima kali melalui pembedahan tetapi ia tumbuh kembali dengan lebih besar dan cepat.

“Kami bimbang keadaan itu semakin buruk dan boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya.

Menurutnya, Herdi juga terpaksa berhenti belajar di sekolah kerana keadaannya menyebabkan dia menjadi mangsa ejekan rakan-rakan hampir setiap hari.

Bapa Herdi, Ace Suganda, 82, memberitahu, dia menggunakan semua wang termasuk menjual rumahnya untuk membiayai rawatan anaknya itu.

“Bagaimanapun, keadaan Herdi tidak berubah dan saya sedih melihatnya seperti itu.

“Saya merayu bantuan untuk membawa Herdi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:03 AM