HASIF Upin.
HASIF Upin.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Hasif Upin berkongsi pengalaman pertamanya berdepan gempa bumi sewaktu penggambaran filem Paku Tanah Jawa di Jogjakarta, Indonesia sekitar tahun lalu.

Hasif yang pernah berduet dengan Ziana Zain menerusi lagu Waktu berkata, situasi yang berlaku membuatkan dia tidak dapat menumpukan perhatian penuh kepada lakonan pertamanya itu.

"Kalau ada yang perasan, dialog percakapan saya dalam filem ini agak kurang jelas. Sebabnya masa itu saya baru lepas kena gempa bumi bacaan lebih dari 5 skala Richter.

"Saya dengar jeritan Allahuakbar di sana sini. Ketika itu juga saya rasa nak menangis, anxiety dan menggigil maklumlah pertama kali kena gempa bumi. Di Malaysia memang tak pernah kena begini.

"Jadi bila nak shooting sahaja, rasa takut ada gempa susulan. Penggambaran dibuat pada Jun tahun lalu sebelum MK K-Clique (yang turut berlakon) kahwin," katanya ditemui pada tayangan Malam Gala Paku Tanah Jawa, di ibu negara, malam tadi.

Menurutnya, dia ditempatkan di sebuah hotel kampung di sana dan semasa gegaran dapat merasakan katil bergoyang dan bergerak.

"Saya terfikir kalaulah saya mati di sana. Kejadian berlaku tengah malam ketika saya sedang tidur. Orang semua dah keluar dan tiada siapa kejutkan saya. Saya tak ingat MK kat mana waktu itu," katanya.

Menerusi filem terbitan Armani Entertainment Group arahan Bambang Drias dan Datuk KK Chua ini, Hasif dan MK ditampilkan sebagai penampilan istimewa.

Menjawab persoalan watak mereka yang dianggap kecil dan tidak memberikan sebarang impak kepada penonton, Hasif berkata, dia terbuka dengan sebarang komen.

"Kalau orang kata watak saya biasa-biasa saja, saya okay sebab saya tahu tak semua orang dapat peluang begitu.

"Ini kali pertama saya berlakon dan pertama kali bergandingan dengan MK. Saya sebenarnya nak kembangkan bakat di Indonesia.

"Dapat pula peluang berlakon dengan artis Indonesia Masayu Anastasia kerana dari kecil saya tengok lakonan dia. Jadi amat terkejut dapat berlakon dengan dia. Itu adalah satu wow bagi saya," katanya.

Paku Tanah Jawa dibintangi barisan pelakon popular seperti Masayu Anastasia, Gisellma Firmansyah, MK K-Clique, Hasif Upin dan Wafda Saifan Lubis.

Ia membabitkan gandingan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 27 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 1:14 PM