POLIS mengiringi dua lelaki yang didakwa di mahkamah Syariah atas tuduhan melakukan hubungan seks sejenis di Banda Aceh semalam. - AFP
POLIS mengiringi dua lelaki yang didakwa di mahkamah Syariah atas tuduhan melakukan hubungan seks sejenis di Banda Aceh semalam. - AFP

Banda Aceh: Sebuah mahkamah Syariah di sini semalam menjatuhkan hukuman sebat di tempat awam terhadap dua lelaki gay, yang pertama dilakukan di wilayah berkenaan.

Kedua-dua lelaki berusia 20 dan 23 tahun itu dihukum sebat 85 kali selepas didapati bersalah melakukan hubungan seks sejenis.

Seorang tertuduh kelihatan menangis ketika hakim membacakan keputusan dan merayu hukumannya diringankan.

Ketua pendakwa raya, Gulmaini memberitahu, hukuman sebat itu dijadualkan minggu depan sebelum Ramadan.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditangkap Mac lalu selepas penduduk kampung menyerbu rumah sewa
tertuduh dan melihat mereka melakukan hubungan seks.

Rakaman video melalui telefon bimbit yang tersebar di Internet dan turut dijadikan bahan bukti di mahkamah menunjukkan kedua-dua lelaki itu ditangkap dalam keadaan bogel.

Ketua panel hakim, Khairil Jamal berkata, kedua-dua lelaki itu secara sah dan meyakinkan terbukti melakukan hubungan seks sejenis.

Ujarnya, panel tiga hakim memutuskan untuk menolak hukuman maksimum 100 sebatan kerana kedua-dua lelaki itu berkelakuan baik di mahkamah, bekerjasama dengan pihak berkuasa dan tiada rekod kesalahan.

“Sebagai penganut Islam, tertuduh harus mendukung undang-undang Syariah yang ditegakkan di Aceh,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 10:46 AM