HUKUMAN sebat terhadap wanita itu. FOTO AFP
HUKUMAN sebat terhadap wanita itu. FOTO AFP
AFP

Banda Aceh: Seorang wanita di Indonesia disebat 100 kali akibat berzina, manakala pasangannya yang menafikan melakukan kesalahan itu disebat 15 kali.

Ketua Bahagian Siasatan Am, Pejabat Pendakwaan Aceh Timur, Ivan Najjar Alavi berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap wanita yang sudah berkahwin itu selepas dia mengaku melakukan hubungan seks di luar perkahwinannya.

Katanya, hakim mendapati kesukaran untuk mensabitkan kesalahan lelaki itu yang juga sudah berkahwin dan seorang ketua agensi perikanan di Aceh Timur kerana tertuduh menafikan semua pertuduhan.

"Semasa perbicaraan, dia tidak mengaku apa-apa, menafikan semua tuduhan. Oleh itu, (hakim) tidak dapat membuktikan sama ada dia bersalah," katanya kepada pemberita selepas sebatan awam terhadap pesalah undang-undang Syariah di Aceh Timur, semalam.

Sebagai hukuman alternatif, sebaliknya hakim mendapati lelaki yang sudah berkahwin itu bersalah kerana menunjukkan kasih sayang kepada pasangan wanita yang bukan isterinya selepas pasangan itu ditangkap penduduk tempatan di ladang sawit pada 2018.

Tertuduh pada mulanya dijatuhi hukuman 30 sebatan tetapi membuat rayuan di Mahkamah Agung Syariah Aceh hingga hukuman itu dikurangkan kepada 15 sebatan sahaja.

Sementara itu, tinjauan AFP mendapati, proses sebatan wanita itu dihentikan seketika kerana dia tidak dapat menahan kesakitan.

Seorang lagi lelaki yang disabitkan kesalahan melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur turut disebat 100 kali, semalam.

Menurut pendakwa raya, lelaki itu juga akan menjalani hukuman penjara 75 bulan, atas jenayah itu selepas sebatan.

Puluhan orang menyaksikan hukuman itu dengan antara mereka merakam dan memuat naik di media sosial.

Aceh satu-satunya wilayah di Indonesia yang majoriti Muslim mengenakan undang-undang Islam, yang membenarkan hukuman sebat untuk tuduhan termasuk perjudian, perzinaan, minum arak dan seks sejenis.

Tidak seperti negara lain, Aceh mengikut undang-undang Islam sebagai sebahagian daripada perjanjian autonomi 2005 yang dipersetujui dengan kerajaan pusat yang menamatkan pemberontakan pemisah selama berdekad-dekad.

Kumpulan hak asasi manusia menyelar hukuman sebat awam sebagai kejam, malah Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa ia dihentikan.

Bagaimanapun, ia mendapat sokongan padu dalam kalangan penduduk Aceh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 9:39 AM