SEORANG kanak-kanak Yaman disyaki dijangkiti taun menerima rawatan di sebuah hospital di Sanaa.    - AFP
SEORANG kanak-kanak Yaman disyaki dijangkiti taun menerima rawatan di sebuah hospital di Sanaa. - AFP

Dubai: Pihak berkuasa Houthi yang menguasai Sanaa semalam mengisytiharkan darurat di bandar itu dan merayu bantuan antarabangsa selepas sekurang-kurangnya 115 orang dilapor mati akibat taun.

Sanaa dikuasai kumpulan berkenaan yang dibantu oleh Iran dalam peperangan yang diketuai Arab Saudi.

“Apa yang berlaku ketika ini menjangkau keupayaan semua sistem kesihatan. Mustahil kami yang berada dalam kesukaran dan keadaan yang rumit kerana peperangan boleh menanganinya,” kata Menteri Kesihatan Houthi, Mohamed Salem bin Hafeed seperti dipetik oleh agensi berita pergerakan itu, Saba.

Kementerian itu, selepas bermesyuarat di Sanaa dengan Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jamie McGoldrick dan pegawai antarabangsa lain menggesa pertubuhan kemanusiaan dan penyumbang bantuan membantu menangani bencana yang tidak pernah
berlaku di Yaman sebelum ini.

Menurut Saba, 8,595 suspek kes taun dicatatkan di Sanaa dan beberapa wilayah Yaman lain antara 27 April dan 13 Mei.

Houthi mendapat bantuan Iran dalam peperangan dengan pakatan yang diketuai Arab Saudi.

Lebih 10,000 terbunuh dan jutaan lain hilang tempat tinggal selepas perang sepanjang dua tahun itu, sekali gus memusnahkan kebanyakan kemudahan asas negara itu.

Hanya beberapa pusat perubatan masih berfungsi dan dua per tiga rakyat negara itu tidak mempunyai akses kepada sumber air bersih. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 9:40 AM