SEORANG pejuang prokerajaan melintasi bangunan yang rosak teruk akibat pertempuran pada hari kedua gencatan senjata di Taiz, barat daya Yaman, semalam.  - Reuters
SEORANG pejuang prokerajaan melintasi bangunan yang rosak teruk akibat pertempuran pada hari kedua gencatan senjata di Taiz, barat daya Yaman, semalam. - Reuters

Sanaa: Gencatan senjata dua hari di Yaman berakhir tengah hari semalam dan tidak akan dilanjutkan, kata jurucakap pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi, semalam.

Kedua-dua pihak saling tuduh satu sama lain mencabuli gencatan senjata itu.

Gencatan senjata 48 jam berkenaan yang diumumkan oleh pakatan Arab Jumaat lalu gagal menghentikan pertempuran di seluruh Yaman.

Konflik yang bermula 20 bulan lalu sudah meragut lebih 10,000 nyawa dan menyebabkan lebih tiga juta penduduk negara itu menjadi pelarian.

Penduduk di Sanaa, ibu negara Yaman berkata, pesawat pakatan Arab mengebom pangkalan tentera di sebuah bukit berhampiran bandar itu awal semalam menyebabkan letupan kuat sehingga menggegarkan bangunan sekeliling.

Sanaa dikuasai kumpulan pemberontak Houthi yang turut menguasai sebahagian besar Yaman.

Meskipun kempen ketenteraan yang diketuai Saudi berjaya menawan semula sebahagian kawasan, namun ia masih belum berjaya membantu kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour berkuasa semula.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry minggu lalu mengumumkan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan peperangan dengan Houthi berundur dari semua bandar utama Yaman dan menyertai kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, kerajaan Abed menolak pengumuman itu dan berkata, ia tidak diajak berunding mengenainya.

Houthi pula menolak dakwaan ia bersetuju berundur dari bandar yang dikuasainya sejak 2014. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:16 AM