ANGGOTA Bulan Sabit Merah Yaman memeriksa mayat yang dipercayai pemberontak Houthi selepas pertempuran di Sanaa, semalam.
ANGGOTA Bulan Sabit Merah Yaman memeriksa mayat yang dipercayai pemberontak Houthi selepas pertempuran di Sanaa, semalam.

SANAA (Yaman): Gencatan senjata antara pemberontak Syiah dan tentera pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi berakhir secara rasmi semalam, lapor agensi berita Arab Saudi.

Secara teknikal, gencatan senjata itu bermula 15 Disember lalu, serentak dengan rundingan damai yang berlangsung di Switzerland.

Bagaimanapun, gencatan senjata itu tidak dihormati seperti yang dirancang dengan kedua-dua pihak tidak mengendahkannya. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada 20 Disember, berlaku beberapa ‘pencabulan’ termasuk berbalas tembakan sejak ia dimulakan.

Menurut PBB, peperangan di Yaman meragut sekurang-kurangnya 5,884 nyawa sejak Mac apabila pertempuran meningkat selepas pakatan Arab yang diketuai Saudi mula melancarkan serangan udara dengan menyasarkan pemberontak Houthi.

Di Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman, pegawai keselamatan bebas berkata, 14 orang awam termasuk empat kanak-kanak terbunuh sejak Jumaat apabila bandar itu dibedil pemberontak.

Kumpulan berkenaan dilapor membedil bandar berkenaan secara rambang dan menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan sejak beberapa bulan lalu, lapor penduduk dan kumpulan bantuan.

Sementara itu, 11 pejuang antipemberontak terbunuh di barat dan selatan wilayah Taiz, sejak Jumaat lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai berkata, lebih 22 pemberontak Houthi dan sekutu mereka terbunuh dalam serangan udara oleh tentera pakatan Arab pada Jumaat hingga Sabtu di wilayah Marib dan Jwaf. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:38 AM