SUASANA di Masjidilharam kelmarin.  - Brunei Islam
SUASANA di Masjidilharam kelmarin. - Brunei Islam
SG

Makkah: Ketua Majlis Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdurahman Al-Sudais berkata, majlis berkenaan dan pegawainya sudah mengerahkan pihak terbabit bagi memastikan keselamatan di Masjidilharam sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan tetamu Allah yang mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan puasa ini terjamin.

Sheikh Abdurahman berkata, langkah keselamatan itu diambil dengan kerjasama Pasukan Keselamatan Untuk Haji Dan Umrah.

Dia berkata demikian selepas berbincang dengan ketua pasukan berkenaan, Brigadier Jeneral Abdullah Al-Ghafees mengenai perkembangan terbaru berkait dengan keselamatan di Masjidilharam, khususnya langkah yang akan diambil sepanjang Ramadan ini.

Perbincangan diadakan sehari selepas satu kejadian seorang lelaki kurang siuman menyerang pasukan keselamatan dengan pisau di dalam masjid itu, menyebabkan beberapa orang cedera.

Jurucakap pasukan khas keselamatan Masjidilharam berkata, anggotanya yang mengawasi keselamatan menerusi televisyen litar tertutup mengesan lelaki berusia 30-an itu berlegar di bumbung Masjidilharam ketika jemaah menunaikan solat Subuh.

Apabila anggota keselamatan menghampirinya, lelaki itu menyerang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:18 AM