SHEIKH Saleh Al-Humaid, imam tertua di Masjidilharam ketika ini, disambut ketika tiba di Bahrain.
SHEIKH Saleh Al-Humaid, imam tertua di Masjidilharam ketika ini, disambut ketika tiba di Bahrain.
SYEIKH Ali Al-Hudzaifi, ketua imam Masjid Nabawi.
SYEIKH Ali Al-Hudzaifi, ketua imam Masjid Nabawi.
ADEL Al-Kalbani, anak pendatang bersuara garau.
ADEL Al-Kalbani, anak pendatang bersuara garau.
ABDURRAHMAN Al-Sudais
ABDURRAHMAN Al-Sudais
SHEIKH Muhammad Ayoub yang meninggal dunia April lalu.
SHEIKH Muhammad Ayoub yang meninggal dunia April lalu.
MAHER bin Al-Mueqqly
MAHER bin Al-Mueqqly
SAUD Al-Shuram
SAUD Al-Shuram
JEMAAH menunaikan ibadat di Masjidil Haram.
JEMAAH menunaikan ibadat di Masjidil Haram.
Agensi

Setiap kali datangnya Ramadan, sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia akan memberi perhatian kepada imam yang mengetuai solat Tarawih di Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Ini kerana imam Tarawih memainkan peranan penting menyuntik semangat mereka secara spiritual menerusi kelunakan dan kemerduan suara dalam membaca ayat suci al-Quran.

Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais dan Sheikh Saud Al-Shuraim adalah antara imam yang berjaya menambat hati jutaan umat Islam menerusi bacaan mereka.

Mereka menjadi imam Tarawih di kedua-dua masjid paling suci selama beberapa tahun, sekali gus memberi pengalaman spiritual yang unik kepada umat Islam, baik yang menunaikan solat berkenaan secara langsung atau mendengar bacaan itu menerusi rakaman.

Sepanjang 100 tahun lalu, 190 imam telah mengetuai solat di kedua-dua masjid berkenaan, sama ada dengan menjadi imam tetap atau ditugaskan sementara.

Daripada jumlah itu, 105 imam di Masjidilharam dan bakinya ditugaskan di Masjid Nabawi.

Menjadi imam di Masjidilharam adalah penghormatan luar biasa.

Abdullah Abulkhair, Omar Al-Kurdi dan Abdullah Al-Zawawi antara mereka yang pernah mengimami solat di masjid berkenaan. Semua mereka meninggal dunia pada 1924.

Yahya Daftar Dar yang meninggal dunia pada 1926 adalah imam paling tua pernah menjadi imam di Masjid Nabawi pada zaman moden ini.

Ketika ini, ketua imam di masjid berkenaan ialah Ali Al-Hudzaifi. Antara pembaca al-Quran paling terkenal di Asia Barat, Ali sebelum ini menjadi imam di Masjid Quba yang bersejarah dan pensyarah di Universiti Islam Madinah.

Dia juga pernah diarah menjadi imam seketika di Masjidilharam pada Ramadan 1401 Hijri.

Bandar Balilah ialah imam yang baru dilantik di Masjidilharam sementara Abdullah Al-Baeejan dan Ahmed bin Humaid adalah dua imam baru di Masjid Nabawi.

Hassan Bukhari dan Yasser Al-Dossari dilantik sebagai pemangku imam sementara Muhammad Ayoub (yang meninggal dunia baru-baru ini) dan Khaled Al-Mohanna dinamakan pemangku imam di Masjid Nabawi.

Raja Saud dan Raja Faisal mencatat sejarah apabila kedua-duanya pernah menjadi imam di Masjidilharam sementara Abdul Malik Mulla, muazzin kanan yang meninggal dunia pada 2006, pernah menjadi imam di Masjidilharam dalam satu kejadian yang tidak pernah berlaku.

Ulama terkenal seperti Sheikh Mohammed Bin Othaimeen, Sheikh Abdullah Al-Bassam dan Sheikh Abdullah Al-Obaid juga pernah menjadi imam di Masjidilharam sementara Sheikh Bakr Abuzaid, Sheikh Abubacker Al-Jazairy, Sheikh Abdul Qader Shaiba Al-Hamad dan Sheikh Saleh Al-Aboud mengetuai solat di Masjid Nabawi.

Masjidilharam juga pernah mempunyai seorang imam yang buta kedua-dua matanya, Mohammed Al-Alami. Dia meninggal dunia pada 1990.

Dua lagi yang pernah mengetuai solat di Masjidilharam ialah Adel Al-Kalbani dan Yasser Al-Dossari.

Adel, anak pendatang dari Ras Al-Khaima dilantik oleh Raja Abdullah menjadi seorang daripada imam Tarawih di Masjidilharam pada 2008.

Suara garau Sheikh Adel yang bergema di seluruh Masjidilharam disiarkan menerusi televisyen satelit dan ditonton ratusan juta umat Islam di seluruh dunia.

“Saya tidak ada hal untuk membaca al-Quran atau menjadi imam kepada ribuan jemaah. Tetapi, tempat itu, yang paling suci, adalah amat berbeza daripada menunaikan solat di tempat lain.

“Ia penghormatan besar untuk menjadi imam di Masjidilharam dan meningkatkan ketakwaan saya kepada Allah (SWT),” kata Adel yang sebelum ini pernah mengetuai solat di sebuah masjid di Riyadh selama 20 tahun.

Imam terkenal di Masjidilharam dan Masjid Nabawi menjadi selebriti di dunia Islam. Beberapa dalam kalangan mereka diberi gelaran ‘Imam Al-Haramain.’

Mereka termasuk Salah Al-Budair, Ali Al-Hudzaify, Abdul Bari Al-Thubaiti, Maher Al-Moaiqeli, Abdullah Al-Johani, Khaled Al-Ghamdi dan Abdul Rahman Al-Sudais.

Sheikh Ahmed Taleb Bin Humaid yang dilahirkan pada 1980 ialah imam termuda di Masjid Nabawi sementara Ali Al-Hudzaifi yang dilahirkan pada 1946, paling tua, ketika ini.

Di Masjidilharam, imam paling tua ialah Sheikh Saleh Bin Humaid, 68, sementara paling muda ialah Abdullah Al-Johani, 41.

Umat Islam di seluruh dunia, khususnya mereka yang sudah berpeluang mengunjung dua masjid suci, pasti ingat imam itu kerana kelunakan suara mereka.

Antara imam berkenaan, Abdul Rahman Al-Sudais, Abdullah Al-Jaber dan Abdullah Al-Khulaifi pasti akan diingat kerana kelunakan dan kemerduan mereka ketika membaca ayat suci al-Quran sewaktu mengetuai solat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:08 AM