MOHD Naim (tiga dari kiri) bersama Rashid (empat dari kanan)
MOHD Naim (tiga dari kiri) bersama Rashid (empat dari kanan)
Husain Jahit


Makkah: Pelbagai persoalan mengenai usul fiqh berkaitan isu asas berkaitan haji bahawa agama Islam itu memudahkan, antara yang dibincangkan dalam Simposium Perdana Haji Edisi ke-48 oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Tema simposium tahun ini ialah "Mematuhi Kebenaran Syariah dan Mematuhi Protokol yang Disahkan Secara Rasmi".

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar berkata, beliau bersama pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) menyertai simposium itu dan banyak perkara akan dibincangkan di peringkat negara, apabila pulang ke tanah air nanti.

"Seperti biasa matlamat utama simposium ini adalah untuk memberitahu menteri-menteri terbabit dari negara masing-masing mengenai perkembangan serta usaha kementerian Arab Saudi yang terbabit untuk memastikan kebajikan jemaah haji seluruhnya," katanya kepada Petugas Media Tabung Haji di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman; serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Acara diketuai oleh Menteri Haji dan Umrah, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah itu dihadiri oleh lebih daripada 500 ulama dan pemikir dari seluruh dunia Islam.

Tahun lalu, Malaysia melalui TH dijemput untuk membentangkan kerja kerja mengenai pengurusan Haji Malaysia.

Mohd Naim berkata, ada juga antara persoalan mengenai fatwa dan usul fiqh dalam simposium tahun ini dibincangkan kerana penganjur menjemput Mufti Mesir, Sheikh Ahmad Sheikh Shuaki serta Presiden Hal Ehwal Agama Masjidilharam dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdulrahman Abdulaziz Al-Sudais.

Beliau berkata, TH dan kementeriannya akan melihat semua usul dan fatwa yang dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi yang mana ia akan dibincangkan serta mana-mana usaha yang baik itu akan dilaksanakan demi kebajikan jemaah haji Malaysia.

Simposium ini akan menekankan peranan budaya dan tamadun Kerajaan Arab Saudi dalam melayani jemaah mengenai pencapaian terpenting, projek dan perkembangan pesat di dua Masjid Suci iaitu Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Ia bertujuan untuk menubuhkan prinsip dialog intelektual mengenai isu-isu umat Islam semasa musim haji, mempromosikan komunikasi saintifik dengan institusi dan penyelidik di seluruh dunia, serta membina integrasi dan persaudaraan yang lebih besar dalam kalangan umat Islam.

Dalam perkembangan sama, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais menekankan bahawa kempen "Tiada Haji Tanpa Permit" dilancarkan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, menggesa semua pihak supaya menyokong dan bekerjasama dengan agensi keselamatan yang melaksanakannya.

Dalam ucapannya bertajuk "Mematuhi Kebenaran Syariah dan Pematuhan kepada Peraturan yang Diluluskan dalam Ibadah Haji," dipetik dari laman web Saudi Press Agency (SPA), Al-Sudais menegaskan bahawa mereka yang tidak mempunyai permit berisiko melakukan dosa dan terbabit dalam perbuatan terlarang dengan melanggar syariah.

Ini berkaitan dengan syarat penting iaitu kemampuan dan pertimbangan keadaan seperti kesesakan dan pergeseran, kepentingan pengurusan orang ramai, dan kemasukan secara berperingkat.

Beliau menambah melakukan Haji tanpa permit melanggar peraturan dan arahan yang dibuat untuk kepentingan awam dan semua jemaah mesti mematuhi peraturan ini.

Al-Sudais turut menegaskan kepentingan mematuhi arahan Haji dan mendapatkan permit terlebih dahulu, sambil menekankan bahawa langkah ini memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 8:22 AM