JEMAAH umrah menyentuh Makam Ibrahim di Masjidil Haram. FOTO AFP.
JEMAAH umrah menyentuh Makam Ibrahim di Masjidil Haram. FOTO AFP.
Agensi

Riyadh: Arab Saudi mengeluarkan garis panduan baharu bagi menjamin keselamatan umat Islam mengerjakan umrah sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.

Ia termasuk mengemas kini peraturan yang diumum pada awal Ramadan dalam memudahkan urusan umrah.

Kementerian Dalam Negerinya memperincikan kaedah untuk memasuki Masjidil Haram dengan jemaah dibenar menggunakan bas awam dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) di Jeddah, atau dari tempat letak kenderaan ke stesen pengangkutan awam di tengah Tanah Haram.

Jemaah juga boleh menggunakan teksi hingga ke kawasan paling hampir dengan masjid atau bangunan kediaman, mahupun menggunakan tren dari stesen Haramain dari KAIA ke stesen Al-Raseefa di Makkah.

Selain itu, jemaah boleh berjalan ke masjid suci dari kawasan kediaman dan kejiranan berhampiran, di samping guna perkhidmatan pengangkutan awam disediakan di bandar.

Bagi mereka yang tidak mengerjakan umrah namun perlu menghantar jemaah, hanya dibenar meletak kenderaan di ruang parkir di pintu masuk Makkah, sebelum jemaah itu perlu meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan awam.

Peraturan ini bagi memudahkan jemaah masuk ke kawasan tengah sekitar Masjidil Haram, sebagaimana yang dinyatakan kementerian, bahawa jalan di kawasan tengah hanya dikhaskan untuk jemaah berjalan, manakala semua jenis kenderaan termasuk motosikal dan basikal adalah dilarang sepanjang masa.

Kenderaan yang diletakkan di kawasan yang menghalang laluan umrah akan ditunda dan pemilik kenderaan dikenakan tindakan atas pelanggaran trafik.

Berhubung pergerakan dalam Masjidil Haram, jemaah dikehendaki mematuhi arahan pasukan keselamatan bertugas, selain memeriksa panel bercahaya di pintu utama masjid untuk mengetahui status semasa ruang solat.

Kawasan bertanda lampu hijau menunjukkan masih ada ruang kosong dan dibenar solat, manakala lampu merah berkemungkinan ruangan penuh atau kawasan larangan.

Sebelum ini, Ketua Pejabat Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais dilapor berkata, kawasan bumbung bagi projek perluasan Masjidil Haram Fasa Ketiga, termasuk semua perkhidmatannya dibuka kepada jemaah selaras peningkatan jumlah jemaah menjelang kemuncak Ramadan.

Pembukaan kawasan baharu itu dilengkapi dengan sistem perkhidmatan lapangan, kejuruteraan dan teknikal bagi memastikan keselesaan dan menjaga keselamatan jemaah.

Malah, ruangan itu dibuka di semua laluan untuk mereka yang datang dari terowong Jarwal dan Jabal Al-Kaabah, seperti mana rancangan yang disediakan untuk 10 hari terakhir Ramadan.

Kerja-kerja pembersihan kerap dilakukan untuk menjaga keselesaan jemaah, di samping, operasi pembersihan dan pewangi yang dipergiatkan sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 1:20 PM