PLAYSTATION classic bakal dilancarkan di Malaysia pada 3 Disember depan dengan harga bermula pada RM429. FOTO/FAIL
PLAYSTATION classic bakal dilancarkan di Malaysia pada 3 Disember depan dengan harga bermula pada RM429. FOTO/FAIL
Hazril Md Nor

MASIH ingat pada konsol klasik dulu-dulu? Sebelum PC mula popular dan menawarkan pelbagai pilihan permainan video serta sebelum konsol PlayStation 2 mula menawarkan permainan yang berdefinisi tinggi.

Kita diperkenalkan dengan Playstation 1, satu konsol yang memberi nafas baru kepada permainan video. Macam-macam ‘game’ menarik ditawarkan dengan jalan cerita dan konsep yang luar biasa.

Tapi itu dulu. Baru-baru ini, Sony akhirnya mengembalikan nostalgia kepada peminat yang meminati konsol itu sejak 1994, tahun ia dikeluarkan.

Dinamakan PlayStation Classic, konsol ini lebih kecil berbanding PlayStation asal dan ia menyediakan 20 permainan video yang popular ketika 1990-an.

Ia juga akan hadir dengan dua ‘controller’ PlayStation, satu kabel HDMI dan satu USB Micro-A.

TAKKEN 3 antara permainan yang tersedia di dalam konsol. FOTO/FAIL
TAKKEN 3 antara permainan yang tersedia di dalam konsol. FOTO/FAIL

PlayStation Classic mempunyai berat 170 gram dan saiznya pula adalah 45 peratus lebih kecil berbanding PS1 yang asal tapi masih cukup relevan untuk membuatkan pengguna mengingati nostalgia selepas hampir 24 tahun.

Antara permainan yang akan disertakan ialah Final Fantasy VII, Jumping Flash!, R4: Ridge Racer Type 4, Tekken 3 dan Wild Arms. Permainan lain bagaimanapun akan diumumkan kemudian.

Tidak seperti konsol masa kini, ia tidak akan mempunyai PlayStation Network. Fail permainan hanya boleh disimpan jika pengguna menekan butang ‘reset’.

Ia akan dilancarkan di Malaysia pada 3 Disember depan dengan harga bermula pada RM429. Bagi yang ingin mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak, anda bolehlah menyimpan duit dari sekarang untuk mendapatkan konsol ulang tahun Sony yang ke-24 ini!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:59 AM