Oleh Hazril Md. Nor

Seronok memilikinya sendiri di rumah tapi apakah kita sedar sejarah pengeluarannya? HAZRIL MDNOR membuat analisis mengenai sejarah perkembangan konsol sesuai dijadikan tatapan semua.

Masih ingatkah lagi pada permainan popular Pac-man? Ia begitu popular sehingga mampu mewujudkan fenomena kira-kira 35 tahun lalu. Apa yang pasti, permainan video mengalami fasa berbeza sejak awal pengeluarannya. Kini, kita disajikan dengan konsol berpatutan, berkaliber tinggi dengan grafik 3D dan interaktif di kediaman masing-masing.

Secara perlahan, namun konsisten konsol yang menyediakan pelbagai permainan video kini berkembang lebih maju dengan adanya persai­ngan sengit dalam pasaran syarikat permainan video gergasi. Contohnya, Nintendo, Sony dan Microsoft bersaing antara satu sama lain untuk memberikan kepuasan maksimum kepada pengguna melalui konsol dikeluarkan oleh mereka.

Walaupun kini anak muda mudah memperoleh kenikmatan bermain konsol canggih, pasti pernah terdetik rasa ingin tahu mengenai sejarah perkembangan konsol dari awal penghasilannya. Gen Y ada beberapa fakta menarik ingin dikongsikan bersama.

1967 -1975

Konsol video ‘game’ pertama dicipta oleh Ralph H Baer pada 1967. Konsol dinamakan Brown Box itu hadir dalam bentuk kotak kayu berwarna coklat digandingkan bersama dua ‘controller’ dan boleh disambungkan ke televisyen.

Walaupun ia konsol pertama dalam sejarah permainan video, Brown Box mempunyai beberapa ‘game’ menarik seperti pingpong, tenis dan bola baling.

Kehebatan Brown Box melakar sejarah baru dalam penghasilan konsol permainan video membuka peluang kepada syarikat lain berebut mendapatkan lesen sah dalam hak pemilikan teknologi konsol itu. Kesannya, pada tahun 1972, syarikat Magnavox berjaya mendapatkan hak milik daripada Ralph dan kemudian mengeluarkan konsol rasmi pertama boleh dimainkan di kediaman iaitu Magnavox Odyssey.

Sama juga seperti konsol sebelumnya, Odyssey tidak mempunyai sistem suara malahan grafiknya tidak berapa menyerlah jika dibandingkan dengan konsol dunia moden. Berikutan kejayaan Odyssey, tahun seterusnya menandakan titik permulaan bagi persaingan dalam syarikat pengeluaran konsol di mana mesin arked Atari mendapat populariti mendadak daripada pengguna sekali gus menggugat kedudukan Magnavox.

Justeru, syarikat Magnavox nekad membina kembali benteng empayarnya dengan memperkenalkan dua lagi konsol ditambah baik dari versi pertama iaitu Odyssey 100 dan 200 pada tahun 1975. Konsol itu mempu­nyai ‘game’ yang sama cuma diubah suai dari segi grafik dan ‘controller’.

1978 - 1980

Syarikat Nintendo me­ngeluarkan siri konsol pertama mereka pada 1977 hingga 1979. Bagaimanapun, ia ha­nya boleh didapati di negara asalnya, Jepun. Sementara itu, syarikat Pihilips yang membeli Magnavox pada 1974 membuat pengubahsuaian pada versi asal Odyssey dari segi reka bentuk untuk menarik golongan sasar. Namun, ia tidak mampu me­ngalahkan konsol Atari 2600 di tangga teratas kerana konsolnya yang lebih maju dari segi grafik dan faktor pemilihan ‘game’ lebih meluas.

1981 -1985

Tiada lagi permainan video hanya tertumpu pada genre sukan kerana pada 1981 ia mencetuskan fenomena baru dalam pembaharuan konsol. Tahun ini juga dianggap sebagai tahun paling gemilang untuk permainan video apabila industri mula melakukan eksperimen dengan teknologi dan berjaya menghasilkan genre permainan baru seperti­ Role Playing Game (RPG), pengembaraan dan pertempuran.

Sepanjang tahun 1981 hingga 1988, pelbagai permainan video klasik popular dicipta untuk memenuhi kepuasan pengguna. Antaranya, Pac-man (1980), Mario Bros (1983), The Legend of Zelda (1986), Final Fantasy (1987) dan Golden Axe (1988). Kedua-dua syarikat konsol gergasi, Sega dan Nintendo menguasai pasaran konsol permainan video pada era itu.

Untuk pengetahuan, konsol pertama Sega ialah SG-1000 (1983) tetapi ia tidaklah begitu popular kerana hanya dipasarkan di rantau Asia saja. Namun, Sega bertindak memperluaskan lagi empayar konsolnya dengan memperkenal Sega Master System pada 1985 di pasaran luar Asia iaitu di Amerika Utara.

Bagaimanapun, ia tidak berjaya merebut populariti konsol Nintendo, Nintendo Entertainment System (NES) yang dikeluarkan pada 1983. Konsol itu paling laris dijual dalam era berkenaan malah Nintendo berjaya mencipta identiti baru sebagai pengeluar konsol utama pada ketika itu.

1986-1994

Pertembungan sengit antara dua pengeluar syarikat gergasi Nintendo dan Sega tidak berhenti begitu saja malah diteruskan pada 1986. Kedua-dua pengeluar ini menghasilkan lebih banyak konsol untuk mencabar kedudukan antara satu sama lain.

Konsol paling popular Sega, Mega Drive/Genesis diperkenalkan pada 1988. Nintendo bagaimanapun membalas balik dengan mengeluarkan Super Nintendo Entertainment System (SNES) dua tahun seterusnya. Ini menandakan persaingan paling sengit antara syarikat konsol gergasi pada abad itu.

Jika konsol klasik menggunakan sistem kaset sebagai storan ‘game’, lain pula dengan apa yang berlaku pada 1991 hingga 1993. Bermula pada 1991, syarikat konsol memperbaharui sistem storan ‘game’ dengan kaedah cakera kompak. Ini bermakna lebih banyak ‘game’ boleh disimpan dan menandakan fenomena pertukaran grafik dari 2D kepada 3D. Konsol cakera pertama dikeluarkan oleh Philips pada 1991 iaitu CD-I.

1994-2015

Bermula pada 1994, Sony menjadi pemasar utama dalam pengeluaran konsol yang masih popular hingga kini, iaitu Playstation. Selain itu, terdapat juga konsol lain seperti Genesis 2 (1994) dan Genesis 3 (1997) yang dikeluarkan oleh Sega. Pada ketika itu, persaingan begitu hebat antara pengeluar konsol utama yang ingin popularkan konsol berlandaskan penggunaan cakera kompak.

Tahun 2000 menunjukkan perubahan nyata apabila Sony mengeluarkan sekuel kedua iaitu Playstation 2 yang terjual sebanyak 155 juta unit. Walau bagaimanapun, Microsoft menunjukkan langkah berani dengan memperkenalkan XBOX pada tahun seterusnya untuk mencabar kedudukan Sony. XBOX Live adalah salah satu fungsi istimewa XBOX menawarkan servis permainan atas talian.

Seterusnya, Playstation 3 (2006) masih kekal sebagai konsol permainan video yang popular berasaskan ciri menarik seperti ‘game’ resolusi HD penuh, kemudahan Internet, kapasiti setoran tinggi dan lain-lain. Kini, Playstation 4 dan XBOX One antara konsol paling popular yang lebih hebat dari segi prestasi, reka bentuk, grafik, mesra pengguna, kemudahan Internet dan lain-lain fungsi interaktif yang memberikan keseronokan memiliki konsol sendiri di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 12:31 PM