ASUS ROG RTX2080Ti.
ASUS ROG RTX2080Ti.
Muhammad Saufi Hassan

SUDAH pasti menjadi impian setiap ‘kaki gamers’ untuk bermain sebarang judul permainan dalam resolusi 3840 x 2160 atau ‘Resolusi 4K’ yang memberikan imej berdefinisi penuh ultra, sekali gus memberi kualiti imej secara terperinci.

Namun untuk bermain dalam resolusi yang tinggi, setiap desktop memerlukan kad grafik yang mampu menjana kualiti gambar yang baik termasuk kadar pemindahan data grafik yang pantas.

Tidak semua kad grafik mampu menghasilkan kualiti video 4K dan kebanyakan perkakas komputer yang boleh menghasilkan video berkualiti berkenaan adalah kad grafik kelas tinggi.

Video resolusi 4K ini secara asasnya mempunyai 4,000 piksel dan hasilnya, ia memberikan kualiti imej serta video pada tahap terperinci.

Teknologi 4K ini juga akan menyokong satu lagi teknologi penghasilan imej jelas iaitu Kepelbagai Jarak Dinamik (HDR) yang memberi tona warna umpama melihat dengan mata kasar.

Peperangan teknologi 4K dalam dunia permainan ini semakin hangat apabila pengeluar konsol popular iaitu Sony Playstation melancarkan Playstation 4 Pro (PS4 Pro) yang menyokong video 4K secara natif.

Walaupun konsol berkenaan menyokong 4K hanya secara natif, perbezaan kualiti gambar agak ketara terutamanya membabitkan judul permainan yang dikeluarkan khas untuk resolusi 4K.

Bagaimanapun, grafik konsol begitu terbatas daripada aspek prestasinya dan jika anda mahu menikmati pengalaman sebenar bermain dalam resolusi 4K, anda memerlukan kad grafik sekurang-kurangnya kad grafik keluaran Nvidia RTX2070.

ASUS ROG RTX2080 beri prestasi mengagumkan dalam resolusi 4K.
ASUS ROG RTX2080 beri prestasi mengagumkan dalam resolusi 4K.

Jika anda mahukan prestasi yang baik dalam semua jenis permainan, sudah pasti Nvidia RTX2080 atau RTX2080Ti adalah jawapan paling sesuai untuk menghasilkan video berkualiti tinggi.

Namun, banyak jenama yang mengeluarkan kad grafik berkenaan dan juara antara juara daripada aspek prestasi sudah pasti ASUS Republic of Gamers (ROG) versi Strix RTX2080 atau RTX2080Ti adalah ‘Raja Bukit’ buat masa ini.

Penulis cuba bermain dalam beberapa judul permainan yang memerlukan kekuatan kad grafik dan hasil ROG Strix RTX2080 begitu mengagumkan malah kad berkenaan tidak berbunyi terlalu bising ketika kapasiti penuh (full load).

Judul permainan seperti Destiny 2, Assassin’s Creed Odyssey dan beberapa judul lagi, bacaan bingkas per saat untuk desktop penulis mampu untuk mencecah melebihi 100 bingkai sesaat (FPS) untuk resolusi 4K.

Bagi resolusi 2K, prestasi kad grafik itu menunjukkan bahawa bacaan FPS melepasi 120 dan penulis menghidupkan mod HDR untuk penghasilan kualiti gambar lebih baik.

Penulis cuba bermain Call of Duty: Black Ops 4 dan pada minit pertama, penulis merasakan sedikit pening kerana kelancaran kesan grafik termasuk skala warna, namun kembali normal selepas 10 minit.

Secara ringkasnya, kad grafik keluaran ASUS ROG Strix versi RTX ini begitu mengagumkan kerana ia bukan saja cantik daripada aspek kosmetik, malah fungsi tiga kipasnya baik untuk mengekalkan suhu minimum.

BARISAN kad grafik keluaran ASUS ROG yang tidak mengecewakan.
BARISAN kad grafik keluaran ASUS ROG yang tidak mengecewakan.

SPESIFIKASI ASUS ROG STRIX RTX2080

ENJIN GRAFIK: Nvidia RTX2080

JENIS MEMORI: GDDR6 8GB

ENJIN CLOCK: Mod OC - 1890 Mhz (Boost Clock) / 1515 MHz (Base Clock)

: Mod Permainan - 1860 MHz (Boost Clock / 1515 (Base Clock)

SPESIFIKASI DESKTOP PENULIS

PEMPROSES: Ryzen 7 2700

RAM: 16GB Saluran Kembar DDR4

PAPAN INDUK: Gigabyte AORUS B450

KAD GRAFIK: ASUS ROG STRIX RTX2080

SKRIN: ASUS ROG SWIFT PG27U (4K / 144Hz)

PENILAIAN PRO

1. Prestasi baik untuk resolusi 4K dan 2K serta 144Hz

2. Suhu kad grafik di tahap minimum ketika kapasiti penuh

3. Senyap dan tidak bising

4. Kepelbagaian fungsi terkini seperti Ray Tracing

Contra

1. Harga mahal

2. Prestasi hampir sama dengan GTX1080Ti

3. Permainan menyokong teknologi Ray Tracing belum dikeluarkan lagi

4. Saiz kad agak besar dan mungkin sesetengan kerangka tidak muat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 2:05 PM