MUHAMMAD Nabil menerima Anugerah Pelajar Prihatin dan Pelajar Harapan Pelancongan Politeknik Merlimau.
MUHAMMAD Nabil menerima Anugerah Pelajar Prihatin dan Pelajar Harapan Pelancongan Politeknik Merlimau.
Redzuan Muharam

Lazimnya, laman sosial menjadi platform untuk generasi muda mengetengahkan bakat dalam bidang seni atau berkongsi pelbagai jenis informasi terkini.

Namun, berbeza dengan Muhammad Nabil Saifuddin, 22, atau lebih mesra dengan panggilan Bang Bill yang memilih platform digital itu sebagai ruang untuk berkongsi minatnya dalam bidang pelancongan.

Bermula dengan hobi mengembara dan minat mengambil gambar panorama destinasi yang dilawati, siapa sangka Muhammad Nabil mendapat kepercayaan membuat ulasan produk pelancongan seperti hotel.

Pengetahuan luas mengenai destinasi menarik dan kemahiran dalam bidang fotografi juga memberinya kebolehan untuk bekerjasama dengan majalah pelancongan selaku jurugambar sambilan.

“Saya mula melancong ketika berumur 18 tahun dan kesempatan ketika melawat destinasi menarik digunakan sebaik-baiknya untuk mengambil gambar panorama sebelum memuat naik di laman sosial.

“Tak sangka pula, perkongsian itu mendapat perhatian hingga menjadikan pengikut di laman sosial saya bertambah.

“Bukan setakat itu, tawaran lain juga menyusul antaranya jemputan mengikuti trip melancong daripada beberapa agensi bagi membuat ulasan mengenai tarikan yang terdapat di destinasi percutian,” katanya yang pernah mengembara ke lima negara iaitu China, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, walaupun puas dengan apa yang dilakukan, dia tidak dapat lari daripada cabaran sepanjang menceburi sektor berkenaan.

Bagaimanapun, minat dan menyedari potensi yang ada dalam sektor berkenaan mendorongnya bertahan sehingga kini.

MUHAMMAD Nabil bersama anugerah dimenanginya
MUHAMMAD Nabil bersama anugerah dimenanginya

“Sebenarnya tugas hakiki saya adalah sebagai perunding pelancongan tetapi keinginan untuk mencuba mendorong mencari pendapatan sampingan dengan menjadi pemandu pelancong dan jurugambar sambilan.

“Bukan mudah kerana saya perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai pelancongan. Itu tidak termasuk kerenah pelanggan dan kenaikan kos tambang penerbangan yang boleh memberi kesan kepada harga pakej.

“Namun, cabaran itu boleh dianggap kecil kerana lebih banyak yang menyeronokkan antaranya apabila mendapat kepercayaan untuk menjadi penceramah di beberapa kampus politeknik untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan bakal graduan yang menuntut dalam jurusan pengurusan pelancongan,” katanya.

Mengenai hala tuju, Muhammad Nabil berkata, cita-citanya adalah membuka agensi pelancongan sendiri namun sedar perjalanannya masih jauh untuk merealisasikan impian itu.

Bagaimanapun, dia tidak berputus asa sebaliknya akan terus berusaha bagi memastikan cita-citanya itu menjadi kenyataan.

“Kalau boleh, saya mahu menjadi inspirasi kepada generasi muda menerusi usaha mempromosikan tempat menarik yang ada di Malaysia.

“Bagi saya, peranan itu perlu dimainkan semua pihak termasuk belia lebih-lebih lagi dengan adanya platform seperti laman sosial yang membolehkan mereka memuat naik gambar destinasi menarik di akaun peribadi masing-masing.

“Secara tidak langsung, kita dapat menjadi duta kecil pelancongan. Meskipun sekadar berkongsi gambar dengan keterangan ringkas, ia cukup untuk menunjukkan rasa sayang dan bangga kita terhadap negara ini yang turut kaya dengan destinasi menarik serta tempat bersejarah,” katanya.

 MAHU usahanya mempromosikan destinasi pelancongan memberi inspirasi kepada belia lain.
MAHU usahanya mempromosikan destinasi pelancongan memberi inspirasi kepada belia lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 3:00 AM