SEBANYAK 80 masjid bersedia sebagai masjid pelancongan. FOTO Rohanis Shukri
SEBANYAK 80 masjid bersedia sebagai masjid pelancongan. FOTO Rohanis Shukri
Aniza Zainudin

PERKATAAN masjid diambil daripada bahasa Arab yang membawa erti tempat sujud bersesuaian dengan fungsinya sebagai pusat menyatakan rasa cinta dan kehambaan umat Islam terhadap Maha Pencipta.

Pada zaman Rasulullah SAW, rumah ibadat ini turut bertindak sebagai pusat kebudayaan dan ilmu, muamalat, perkembangan dakwah bahkan kemajuan serta ketamadunan Islam juga bermula dari masjid.

Oleh itu, inisiatif mengimarahkan masjid bukan hanya tertumpu kepada aktiviti ibadat dalam kalangan umat Islam semata-mata, sebaliknya peranan masjid yang terlebih dahulu dilaksanakan Rasulullah SAW kini diubah suai sejajar dengan perkembangan dunia hari ini.

Usaha memperkenalkan program masjid pelancongan antara satu teknik menyampaikan dakwah dan fakta sebenar berkenaan agama Islam kepada masyarakat tempatan mahupun asing.

Berkongsi hasil kajian berkaitan ‘Profil Masjid Tarikan Pelancongan Dalam Industri Pelancongan di Malaysia’ oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) mendapati 80 masjid di seluruh Malaysia sudah bersedia untuk menjadi masjid pelancongan.

Pengarah Pembangunan Industri, ITC, Zain Azrai Rashid berkata, masjid pelancongan adalah satu produk pelancongan ‘niche’ kini menerima sambutan menggalakkan daripada negara bukan Islam seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

“Lapan puluh masjid yang dikenal pasti bersedia menganjurkan Program Pelancongan Masjid (MTP) dilihat mempunyai kriteria sebagai masjid pelancongan. Boleh dikatakan antara lima hingga 10 masjid di setiap negeri sudah bersedia melakukan inisiatif ini.

“Di ibu kota umpamanya, kita mempunyai Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Di negeri lain, Masjid Kapitan Keling (Pulau Pinang) dan Masjid Zahir (Kedah) menerima pengiktirafan daripada TripAdvisor.

“Satu daripada elemen paling utama, masjid ini memiliki sukarelawan pelancong yang bertanggungjawab berkongsi dan menerangkan maklumat berkenaan sejarah masjid, seni bina dan reka bentuk, peradaban Islam, kaedah bersolat mahupun berwuduk bersesuaian dengan cara hidup Muslim.

PERKONGSIAN dari hati. FOTO Rohanis Shukri
PERKONGSIAN dari hati. FOTO Rohanis Shukri

“Lebih menarik, sekiranya masjid pelancongan turut mempelbagaikan aktiviti keagamaan seperti majlis tilawah al-Quran dan kelas mengaji, lantas ia dapat memberi pengalaman baru kepada pelawat.

“Sukarelawan juga perlu terbuka untuk menjawab persoalan diutarakan bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan Islam terutama ‘Islamophobia’ (fobia terhadap Islam).

“Kebanyakan pelancong yang mengalami isu ‘Islamophobia’ ini sebenarnya tidak mengetahui fakta sebenar berkenaan Islam.

“Saya berpendapat menerusi masjid pelancongan oleh sukarelawan ini dapat memberi gambaran positif berkenaan Islam dan Malaysia kepada pengunjung,” katanya selepas Lawatan Suai Kenal Masjid Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.

Mengulas berkenaan prospek masa depan industri pelancongan Islamik, beliau menegaskan sektor pelancongan ini mempunyai masa depan besar kerana terdapat 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Ini juga terbukti apabila negara bukan Islam seperti Jepun, Taiwan, Korea dan Macau mula mempromosikan destinasi mesra Muslim.

Menurut Zain Azrai, kerajaan Jepun turut mendapatkan khidmat nasihat daripada ITC untuk mempelajari inisiatif surau bergerak sempena penganjuran Sukan Olimpik 2020.

Malah, Taiwan juga melantik selebriti tempatan, Mira Filzah bagi mempromosikan destinasi pelancongan mesra Muslim di negaranya.

Pusat Pelancongan Islam dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan menganjurkan Lawatan Suai Kenal Masjid Wilayah Persekutuan dan MTP berkenaan ‘Masjid Dalam Taman’ di Kuala Lumpur.

SENI bina Masjid Wilayah Persekutuan dipengaruhi Masjid Biru, Turki. FOTO Rohanis Shukri
SENI bina Masjid Wilayah Persekutuan dipengaruhi Masjid Biru, Turki. FOTO Rohanis Shukri

Mengumpulkan wakil media, kedutaan dan agensi pelancongan, program ini bertujuan mempromosikan masjid sebagai satu daripada tarikan utama pelancong sama ada Muslim mahupun bukan Muslim dari dalam serta luar negara.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail berkata, pemilihan Masjid Wilayah Persekutuan sebagai lokasi program antara usaha baik untuk memperkasakan institusi masjid sebagai pusat pelancongan keagamaan.

“Masjid juga perlu dilihat dan dibangunkan sebagai pusat pelbagai aktiviti selagi ia seiring dengan syariah dan me­nyokong pembangunan modal insan.

“Sememangnya rakyat Malaysia hidup harmoni meskipun berbeza pegangan agama, bahasa dan kepercayaan, kesefahaman dan sikap saling menghormati perlu diterapkan. Kita sentiasa terbuka menerima kunjungan Muslim dan bukan Muslim ke sini (masjid).

“Ini kerana hakikatnya lokasi Islamik tumpuan pelancong seperti masjid bukan sekadar tempat umat Islam menunaikan kewajipan bersolat, bahkan medium sosial yang mewujud­kan interaksi antara pelancong dan penduduk tempatan.

“Saya yakin Masjid Wilayah Persekutuan boleh menjadi satu daripada destinasi tarikan pelancong yang berkunjung ke Malaysia berdasarkan faktor seni bina dan reka bentuk unik serta cantik dipengaruhi dengan keindahan Masjid Biru (Masjid Sultan Ahmed) di Turki.

PELANCONGAN  masjid miliki prospek luas pada masa depan. FOTO Rohanis Shukri
PELANCONGAN masjid miliki prospek luas pada masa depan. FOTO Rohanis Shukri

“Selain itu, kedudukan masjid di kawasan berbukit sekali gus menyajikan pemandangan indah Kuala Lumpur.

“Masjid ini turut dilengkapi kemudahan termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak. Ini akan membuka mata pelancong bahawa masjid memainkan pelbagai fungsi lain,” katanya dalam majlis yang sama.

Menurutnya, Masjid Wilayah Persekutuan kini memiliki kira-kira 80 sukarelawan bertindak sebagai pemandu pelancong sentiasa terbuka meraikan dan berkongsi maklumat berkaitan Islam bersama pelawat, setiap hari, seawal jam 10 pagi hingga 6 petang.

Menzahirkan rasa terima kasih kepada kumpulan sukarelawan, beliau turut menyifat­kan sokongan daripada pemain industri pelancongan dalam mempromosikan lagi identiti masjid pelancongan bakal merancakkan lagi sektor ini.

Sementara itu, Kordinator Dr Wan Nor Aidah Wan Ibrahim berkata, MTP adalah program di bawah Unit Sosial dan Kebajikan Masjid Wilayah Persekutuan yang diuruskan sepenuhnya oleh kumpulan sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Program ini bermula sejak Julai 2009 bersama seorang sukarelawan yang kini bertambah menjadi 80 orang. Tahun pertama kita hanya menerima lebih 700 pengunjung yang terdiri daripada pelancong dan pemandu pelancong.

“Kini, kita menerima kira-kira 10,000 pelancong setahun dan keunikan bukan sahaja bergantung pada seni bina dan reka bentuk masjid, sebaliknya perkongsian sukarelawan yang dekat di hati membuatkan bilangan ini meningkat.

“Menggunakan cogankata, ‘Masjid Wilayah Masjid Pilihan’, program MTP ini diberikan secara percuma dan sesi lawatan memakan masa antara 30 hingga 40 minit,” katanya.

Kongsinya lagi, masjid ini diiktiraf sebagai antara lima tempat tarikan pelancong yang paling ramai pengunjung dan paling banyak diambil foto di Kuala Lumpur.

BERSAMA wakil agensi pelancongan, kedutaan dan sukarelawan. FOTO Rohanis Shukri
BERSAMA wakil agensi pelancongan, kedutaan dan sukarelawan. FOTO Rohanis Shukri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 11:34 AM