SHAWN (kiri) dan Ferdi tekun menyiapkan tempahan pelanggan .
SHAWN (kiri) dan Ferdi tekun menyiapkan tempahan pelanggan .
Redzuan Muharam

Maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan meyakinkan dua sahabat karib, Syazman Ariff Nasution, 30, dan Muhamad Nurfirdaus Razlan, 28, untuk serius menjalankan perniagaan bakeri sejak empat tahun lalu.

Lebih menarik, mereka tidak mengusahakan perniagaan itu di kafe atau kedai sebaliknya menjadikan kediaman sebagai ruang untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Syazwan atau lebih mesra dengan panggilan Shawn berkata, sebelum menjalankan perniagaan sepenuh masa, dia pernah bekerja sebagai pramugara dan pembuat kek di sebuah kafe.

Namun, dia nekad berhenti bagi memberi tumpuan terhadap perniagaan walaupun keluarga agak sangsi dengan keputusannya itu.

“Segalanya bermula selepas kami berdua mengambil tempahan membuat biskut cip coklap ketika Ramadan empat tahun lalu.

“Kalau diikutkan, jualan itu hanya sekadar untuk suka-suka tetapi ramai yang sukakannya. Sejak itu, bilangan tempahan bertambah bukan setakat biskut tetapi berkembang dengan adanya permintaan menyediakan kek hari jadi, perkahwinan dan pelbagai majlis lain.

“Kebetulan, saya adalah siswazah dalam bidang kulinari dan pernah bekerja di kafe jadi pengalaman itu banyak membantu kerana sudah mahir termasuk berkaitan teknik menghias kek,” katanya.

Pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor itu berkata, kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaannya. Jadi dia akan memastikan semua tempahan siap pada waktunya.

Katanya, bagi memastikan rasa kek itu menepati kehendak pelanggan, dia mengambil tanggungjawab menyediakan tempahan daripada proses awal sehingga akhir.

SHAWN mahu membuktikan lelaki juga boleh berjaya dalam perniagaan.
SHAWN mahu membuktikan lelaki juga boleh berjaya dalam perniagaan.

“Sehingga kini, belum ada rungutan yang kami terima daripada pelanggan sebaliknya ramai memberi maklum balas positif.

“Lebih menggembirakan saya apabila mereka turut mempromosikan perniagaan kami secara sukarela di laman sosial .

“Daripada situ, pelanggan kami bertambah dan menariknya, selebriti, golongan profesional dan kenamaan turut tertarik untuk membuat tempahan,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsinya, Muhamad Nurfirdaus yang lebih mesra dengan panggilan Ferdi berkata, bukan mudah untuk mereka mendapat kepercayaan pelanggan memandangkan ramai yang menjalankan perniagaan serupa jadi persaingan itu agak sengit.

Jadi, Ferdi berkata, mereka perlu memanfaatkan laman sosial dengan sebaik mungkin bagi mempromosikan perniagaan supaya tempahan itu sentiasa ada.

“Saya tidak menjalankan perniagaan ini sepenuh masa sebaliknya mempunyai pekerjaan tetap sebagai tenaga pengajar di sebuah universiti namun dapat membahagikan masa untuk kedua-duanya.

“Bagi memastikan segalanya berjalan lancar, kami bahagikan tugas yang mana saya menguruskan tempahan pelanggan manakala Shawn bertanggungjawab menyediakan kek.

“Pendek cerita, kami saling membantu satu sama lain kerana ada kalanya tempahan terlalu banyak pada satu-satu masa dan lebih mencabar lagi apabila perlu menyediakan kek perkahwinan yang lebih memerlukan ketelitian,” katanya.

Berkongsi hala tuju, Ferdi berkata, menjadi impian mereka berdua untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan memiliki ruang khas bagi pembuatan kek dan biskut tempahan pelanggan.

Namun, dia sedar banyak modal yang diperlukan untuk ke arah itu dan sebagai langkah awal, mereka mahu mengutip pengalaman termasuk menghadiri kelas bagi menambah ilmu sekali gus memantapkan skil yang ada.

SHAWN dan Ferdi berganding mahu menjalankan perniagaan di rumah .
SHAWN dan Ferdi berganding mahu menjalankan perniagaan di rumah .

“Buat masa ini, kami selesa menjalankan perniagaan dari rumah dan tidak bercadang untuk membuka kafe kerana memikirkan kosnya yang agak besar.

“ Namun, kami tidak menolak kemungkinan pada masa akan datang termasuk dengan mewujudkan ruang khas bagi pembuatan kek dan biskut.

“ Kalau boleh, kami mahu membuktikan bahawa lelaki juga boleh berjaya dalam bidang ini walaupun ia lebih didominasi oleh wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 12:46 PM