SEBAHAGIAN peserta yang dapat hadir untuk pembentangan.
SEBAHAGIAN peserta yang dapat hadir untuk pembentangan.
Nurul Husna Mahmud


PERSPEKTIF pemilik nama Siti Khaulah Awai, 27, ini, kawasan luar bandar seperti di Chenor, Pahang berpotensi besar jika dibangunkan kafe yang menawarkan pelbagai jenis kek dan biskut.

Kebanyakan orang melihat penerimaan produk sedemikian hanya tertumpu di kawasan bandar semata-mata, namun berbeza bagi pengasas The Koala Place ini yang melihat sajian manis itu juga mempunyai peminat di kawasan luar bandar.

Dia yang juga salah seorang peserta Program Inkubator GIRLBOSS oleh Picksum Labs menyedari penawaran kek dan biskut itu di kawasan luar bandar mampu memberi pulangan pendapatan memberangsangkan.

"Saya menemui peluang itu secara tidak sengaja. Bermula dengan niat membantu adik, kini menjadi sumber pendapatan bagi saya sejak 2019.

"Maklumlah di tempat saya tinggal ada tiga sekolah terletak berdekatan, klinik dan juga pejabat pos tetapi tiada produk kek dijual selain untuk ke bandar perlu menempuh perjalanan kira-kira 30 minit.

"Pada saya itu satu peluang kerana pelanggan berpotensi ada iaitu guru atau kakitangan awam yang tinggal berhampiran selain anak muda kampung.

"Perancangan ke hadapan, ialah saya mahu wujudkan kafe dengan konsep santai buat anak muda atau keluarga untuk meraikan hari lahir dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

RIFQA memulakan semula perniagaan makanan ibunya yang terhenti 10 tahun.
RIFQA memulakan semula perniagaan makanan ibunya yang terhenti 10 tahun.

Sudah puas makan gaji dengan pendapatan tidak seberapa, kata Siti Khaulah, perniagaan itu banyak membuka matanya mengenai peluang untuk pergi jauh.

"Saya tidak merancang selamanya untuk bergantung kepada pendapatan dari satu sumber sahaja, sebaliknya merencana untuk pelbagaikan saluran jualan termasuklah menjadi pembekal kepada kafe berhampiran," katanya.

Tambahnya lagi, penyertaan dalam platform GIRLBOSS itu diharap membuka peluang kepada belia sepertinya untuk lebih fokus selain mengintai peluang lebih baik.

"Program seperti ini baik buat kami usahawan belia selain memasarkan jenama peserta yang memang akan menerima wang tunai sekali gus dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Saya juga tertarik kerana menerusi platform itu pelbagai inisiatif diketengahkan termasuk program bimbingan dan strategi memasarkan produk dalam talian untuk melonjakkan perniagaan usahawan belia," katanya.

Di samping itu, penerima dana pelaburan bernilai RM10,000 menerusi program inkubator itu, Rifqa Halim, 25, turut mengakui teruja untuk memperkembangkan semula perniagaan Mee Kari Istana yang pernah diusahakan ibunya 10 tahun lalu.

"Ramai usahawan muda berminat berniaga tetapi tiada bimbingan menyebabkan mereka tiada daya tahan selain hilang minat lalu memilih untuk bekerja dengan orang lain," katanya.

SITI KHAULAH selesa menjalankan perniagaan kek dan biskut di kampungnya.
SITI KHAULAH selesa menjalankan perniagaan kek dan biskut di kampungnya.

Mengenai dana itu, kata anak jati Butterworth Pulau Pinang itu, dia sedang merancang untuk meluaskan pasaran sehingga ke Johor dan Lembah Klang kerana terdapat permintaan dari kawasan itu.

"Pada mulanya merancang untuk buka kedai fizikal tetapi terpaksa mengubah hala tuju perniagaan kepada konsep francais. Fokus untuk hasilkan pes kit supaya wakil francais di lokasi terpilih dapat sedia dan jual kepada pelanggan," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Picksum Labs, Ahmed Faris Amir berkata, penganjuran program berkenaan dilihat satu permulaan terhadap usaha pihaknya untuk melahirkan usahawan belia dalam kalangan wanita.

"Ia adalah projek perintis untuk program inkubator Picksum Labs di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang dijalankan selama tiga bulan bermula awal tahun lalu untuk 20 belia.

"Ekosistem GIRLBOSS berbeza dengan program inkubator di luar kerana lebih memfokuskan program jangka masa panjang bagi belia wanita.

"Kami juga dapati bahawa usahawan belia di luar bandar berhadapan dengan cabaran yang lebih besar lantaran akses Internet yang tidak stabil. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada pembelajaran mereka sepanjang program yang berlangsung secara virtual malah mengehadkan pasaran di arena digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:00 AM