Redzuan Muharam


Memakai baju sedondon bukan lagi asing sebaliknya sudah jadi seperti kebiasaan buat mereka yang bergelar pasangan kekasih.

Bukan saja kelihatan secocok malah ia bukti kemesraan sebagai pasangan bercinta.

Namun, jangan salah faham dengan erti sedondon kerana anda tidak semestinya memakai baju dengan corak yang sama semata-mata.

Sebaliknya, memadai dengan tahu memilih pakaian dan kombinasi warna yang sesuai bagi menyerlahkan penampilan.

Untuk itu, Gen Y kongsikan tip yang mungkin memberi idea untuk pasangan kekasih gayakan ketika keluar bersama ke majlis dan acara berikut:

1. Keluar bersantai

Baju-T rona sedondon mungkin agak klise untuk dipakai ketika keluar bersama jadi gantikan dengan baju panas corak serupa sebagai alternatif.

Selain baju panas, jaket denim atau baju kemeja bersaiz besar juga antara pilihan yang ada untuk kalian berdua.

Cuma, pakaian kasual lebih sesuai dipakai lebih-lebih jika destinasi dituju itu hanya menonton wayang atau bersiar di pusat beli-belah.

2. Majlis makan malam

Menghadiri majlis makan malam antara sebab untuk anda berdua memakai baju sedondon.

Untuk kelihatan selamat, pilih dua warna, contohnya merah dan hitam untuk dipakai.

Bagi si gadis, gaun polos merah sudah memadai manakala pasangannya boleh memakai blazer bersama kemeja dan seluar 'slack' hitam dengan sapu tangan merah supaya nampak sepadan dengan teman wanita.

3. Beriadah

Bagi pasangan yang gemar melakukan aktiviti riadah, inilah kesempatan untuk anda berdua memakai baju sedondon.

Bukan setakat ketika beriadah di luar malah anda juga boleh memakai baju sedondon ketika ke gimnasium.

Persalinan trek sut atau baju-T rona sama sudah memadai dan sebagai pelengkap gaya, anda berdua juga boleh memakai 'sniker' corak serupa.

4. Melancong

Selain beriadah, melancong adalah waktu paling sesuai untuk memakai baju sedondon.

Ia kerana ketika itu kalian berdua pasti banyak menghabiskan masa untuk mengambil gambar bersama.

Jadi, untuk hasil gambar yang menarik dan sebagai kenang-kenangan, tempah baju-T yang direka khas untuk pasangan jika mempunyai bajet atau gayakan pakaian rona sama atau senada.

5. Tempat kerja

Bekerja di bawah satu bumbung adalah kelebihan bagi pasangan bercinta kerana anda boleh berjanji memakai baju sedondon pada hari yang sama.

Jika bekerja di pejabat, memadai dengan baju rona sama saja iaitu kemeja untuk lelaki dan mungkin blaus untuk pasangannya.

Percayalah, penampilan kalian berdua pasti akan menarik perhatian mereka yang melihat kerana kelihatan serasi bersama!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 12:19 AM