Redzuan Muharam

Persalinan sut balapan atau trek sut dulunya lebih sinonim dipakai ketika melakukan aktiviti sukan atau riadah namun kini tidak lagi kerana ia juga antara elemen fesyen yang boleh dipelbagaikan.

Malah, padanan ini tidak asing lagi terutama dalam kalangan selebriti terkenal dan penggemar fesyen di Barat.

Cuma pemakaiannya bukan satu kebiasaan di negara ini kerana faktor cuaca dan kurangnya keyakinan pemakai.

Sedangkan kesesuaian sesuatu pakaian itu juga bergantung kepada cara seseorang menggayakannya.

Pada pandangan penulis, apa yang lebih utama adalah keselesaan dan bagi yang ingin mencuba gaya ala ‘sporty’ ini, berikut item sesuai dipadankan bersama:

Kasut tinggi atau sandal

Bagi mereka yang mahu tampil feminin, lupakan sniker buat sementara waktu dan gantikannya dengan kasut tumit tinggi.

Sandal juga boleh dijadikan alternatif jika anda tidak biasa memakai kasut tinggi namun pilih yang berona ceria.

Gaya ini sesuai untuk mereka yang ingin menggayakan trek suit tetapi tidak mahu kelihatan seperti ke pusat gimnasium!

Seluar khaki atau slack

Mereka yang antigaya formal boleh memakai jaket dengan kemeja di bahagian dalam bersama seluar slack atau jenis khaki.

Gaya ini lebih kelihatan kasual dan sesuai jika anda bekerja di tempat berhawa dingin contohnya di dalam pejabat.

Padanan ini juga tidak menjadikan penampilan anda kelihatan terlalu ‘sporty’ di tempat kerja.

Baju senteng

Selalunya, baju senteng digayakan bersama seluar denim namun ia juga sesuai dipadankan bersama seluar trek sut.

Untuk gaya ini, sniker sudah memadai kerana selesa dan menonjolkan lagi imej ‘sporty’.

Paling penting, anda mestilah yakin dan elakkan memakainya jika tidak mahu bahagian perut terdedah!

Pakaian dedah bahu

Padanan jaket dan seluar trek sut agak klise jadi gantikan dengan baju yang mendedahkan bahu untuk lari daripada kebiasaan.

Jika tidak mahu kelihatan terlalu polos, anda boleh memakai rantai atau gelang tangan sebagai aksesori tambahan.

Kasut pula terpulang kerana jenis tumit tinggi atau sniker, kedua-duanya tetap menjadikan anda kelihatan menyerlah!

Tas tangan atau beg genggam

Tidak lengkap jika anda memakai persalinan trek sut lengkap tanpa membawa tas tangan bagi menyimpan barangan peribadi.

Itu bagi gadis dan untuk jejaka pula, memadai dengan beg genggam yang lebih ringan dan mudah untuk dibawa.

Kedua-duanya praktikal melainkan anda sanggup membawa beg galas bersama!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 12:02 AM