SEKUMPULAN wanita menunggu pelanggan di satu kawasan lorong di Jessore.
SEKUMPULAN wanita menunggu pelanggan di satu kawasan lorong di Jessore.
Agensi

MENDIAMI rumah pelacuran di Mymensingh, Dhaka selama lima tahun membuatkan Labonni, 19, putus harapan agar diselamatkan selepas dijual kepada seorang wanita ketika berusia 13 tahun.

Mymensingh adalah penempatan pelacur di Bangladesh yang mempunyai antara 700 hingga 1,000 wanita dan kanak-kanak dalam industri pemerdagangan seks. Seorang lelaki perlu membayar 4.26 euro (RM19.73) untuk hubungan seks selama 10 minit.

Labonni sendiri terpaksa melayan pelanggannya setiap satu jam bermula 9 pagi.

Kisah malang Labonni bermula selepas dia melarikan diri daripada suaminya yang panas baran, yang dikahwininya pada usia 12 tahun dan terpaksa meninggalkan anak perempuan berumur enam bulan, lapor The Guardian.

Dia ditawarkan makanan dan tempat tidur oleh seorang wanita di stesen kereta api Dhaka.

Dua hari kemudian, dia dijual pada harga 180 euro (RM831) kepada rumah pelacuran dan dilarang meninggalkan tempat baharunya.

Pada malam hari, Labonni menjadi ‘chukri’ atau pekerja seks yang ditahan dalam rumah pelacuran sehingga dia selesai membayar ratusan jenis hutang.

GADIS berusia 14 tahun ini menunggu pelanggan di sebuah rumah pelacuran Jessore.
GADIS berusia 14 tahun ini menunggu pelanggan di sebuah rumah pelacuran Jessore.

“Puan yang membeli saya mengatakan saya berhutang lebih 914 euro (RM4,202) dan perlu membayarnya kembali.

“Dia merasuah pihak berkuasa untuk mengubah umur saya ke 18 tahun (menurut undang-undang pekerja seks berdaftar) dan memukul saya jika cuba melarikan diri,” kata Labonni.

Sejak enam tahun lalu, dia berterusan kerja untuk membayar hutang dan memperoleh lebih 46,500 euro (RM213,773) untuk tuannya yang hidup mewah tetapi diberi elaun bulanan berjumlah 37 euro (RM170).

Gadis seperti Labonni adalah model perniagaan yang sangat menguntungkan bagi pemilik rumah pelacuran di Bangladesh.

Farada, 33, yang menguruskan pembelian wanita dan kanak-kanak perempuan baharu berkata, jumlah gadis yang menjadi mangsa pemerdagangan seks meningkat sejak 1999.

“Saya membeli seorang kanak-kanak bernama Moni berharga 137 euro (RM629) namun perlu membayar kepada pihak berkuasa agar mereka menyediakan sijil,” katanya merujuk kepada sijil kerajaan menyatakan setiap pekerja seks hendaklah berusia 18 tahun dan bersetuju terbabit dalam pelacuran.

TANAH perkuburan persendirian untuk pekerja seks di Tangail.
TANAH perkuburan persendirian untuk pekerja seks di Tangail.

“Kini pihak berkuasa mengenakan bayaran lebih tinggi, sekurang-kurangnya 450 euro (RM2,070).

“Semakin muda gadis itu, semakin besar jumlah wang yang perlu dibayar kepada penguat kuasa undang-undang,” kata Farada.

Aktiviti pelacuran sah di Bangladesh sejak 2000, tetapi tidak bagi pemerdagangan dan buruh paksa.

Penguatkuasaan lemah di negara itu apabila wanita mudah menjadi mangsa membolehkan pengedar bertindak dengan sewenang-wenangnya.

Kerajaan Bangladesh menganggarkan 100,000 wanita bekerja dalam industri seks negara itu dan laporan menyatakan, kurang 10 peratus daripadanya melacur secara sukarela iaitu sama ada dijual oleh orang tidak dikenali, ahli keluarga atau suami tanpa persetujuan mereka.

Walaupun sebahagian besar perempuan melacur dari rumah atau jalanan, lebih 5,000 wanita dan perempuan dibahagikan antara 11 rumah pelacuran terbesar di seluruh negara.

Ada yang rumah pelacuran berusia lebih 100 tahun, setiap premis berdaftar dengan kerajaan dan dipantau polis tempatan.

Tiga gabungan pemerintah berkuasa iaitu kerajaan, polis dan kumpulan agama hanya menjadi pemerhati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 9:26 AM