AFP

Barrancas, Colombia: Penyerang Liverpool Luis Diaz bertemu bapanya semula buat kali pertama dalam suasana pilu selepas dibebaskan daripada penculikan selama 12 hari oleh kumpulan gerila ELN Colombia.

Diaz pulang ke rumah di Colombia untuk menyertai pasukan kebangsaan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Brazil Khamis ini di bandar pelabuhan Barranquilla, tempat yang di aturkan untuk pertemuan dengan bapanya, Luis Manuel Diaz.

Mereka berpelukan sambil menangis.

Luis Manuel Diaz, 56, memakai kemeja-T hitam dengan perkataan: "Tiada lagi penculikan."

"Selepas 12 hari dibebaskan, ini adalah kali pertama pemain itu bertemu dengan bapanya dan seluruh ahli keluarga dan suasana sedih dan ketakutan," kata FCF di laman webnya dengan gambar dua lelaki itu dan anak perempuan Diaz berada di atas lutut datuknya.

Luis Manuel Diaz dan isterinya Cilenis Marulanda diculik lelaki bersenjata dan bermotosikal di sebuah stesen minyak di kampung halaman mereka, Barrancas berdekatan sempadan Venezuela pada 28 Oktober lalu.

Marulanda diselamatkan beberapa jam kemudian dan operasi pencarian secara besar-besaran di darat dan udara dilancarkan untuk menjejaki suaminya.

ELN, yang berunding dengan kerajaan untuk mencari jalan perdamaian dan mengadakan gencatan senjata enam bulan sejak Ogos lalu, menganggap penculikan oleh salah satu unitnya sebagai satu "kesilapan."

Khamis lalu, selepas beberapa hari berunding, kumpulan pemberontak itu menyerahkan Diaz kepada petugas kemanusiaan di kawasan pergunungan berdekatan sempadan.

Luis Manuel Diaz adalah pengasas dan jurulatih amatur, satu-satunya akademi bola sepak di Barrancas yang mana anak lelakinya memperagakan bakat sejak kecil.

DIAZ mengucup bapanya Luis Manuel Diaz yang ditemui buat kali pertama selepas dibebaskan daripada penculikan. -FOTO Reuters
DIAZ mengucup bapanya Luis Manuel Diaz yang ditemui buat kali pertama selepas dibebaskan daripada penculikan. -FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 7:06 AM