KERUSI daripada palet.
KERUSI daripada palet.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Rumah menjadi kurang berseri tanpa perhiasan di dalamnya. Disebabkan itu ada yang sanggup berbelanja besar untuk membeli perhiasan yang menepati cita rasa.

Sebenarnya kita ada pilihan untuk mempunyai perhiasan tanpa mengeluarkan wang tetapi menarik iaitu dengan hanya 'bermodalkan' kreativiti menggunakan barangan terpakai

Barangan ini banyak didapati di rumah yang selalunya dibuang kerana dianggap tidak bernilai dan menyepahkan ruang.

Langkah kreatif ini mengurangkan pembaziran penggunaan sumber semula jadi, sekali gus memelihara alam sekitar.

Antara barangan terbuang yang boleh dijadikan produk perhiasan:

1. Surat khabar lama dan kertas terpakai

Ramai tidak mengetahui barangan terpakai ini boleh menjadi rekaan seni yang menarik dan eksklusif.

Ia boleh menghasilkan bunga, bakul hiasan, bingkai gambar, bekas letak alat tulis dan sebagainya.

Mereka boleh mempelajari teknik menghasilkan perhiasan ini menerusi Internet dan proses penghasilan tidak rumit tetapi bergantung kepada reka bentuknya.

Selain menjadi perhiasan di rumah sendiri, boleh juga dijual kepada orang lain sebagai pendapatan tambahan.

MENGOLAH barangan terpakai menjadi perhiasan.
MENGOLAH barangan terpakai menjadi perhiasan.

2. Gelung tisu

Ini antara barangan terpakai yang kerap dibuang selepas penggunaannya kerana menganggapnya tidak berguna.

Sebenarnya ia boleh disusun menjadi bekas untuk meletakkan alat tulis atau sudu di meja makan.

Untuk menjadikannya lebih menarik, boleh dicat dengan warna warni untuk menonjolkan keceriaan.

3. Palet

Pemilihan papan nipis ini dijadikan perhiasan dan perabot sudah menjadi pilihan kerana tampil menarik serta unik.

Selalunya kayu ini digunakan untuk membuat pelamin, meja, sofa, katil, almari, katil bayi dan jam dinding.

Ini kerana harganya murah dan dapat menjimatkan kos. Cuma perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk cat mengikut warna pilihan.

BEKAS plastik sebagai tempat letak bunga hiasan.
BEKAS plastik sebagai tempat letak bunga hiasan.

4. Botol dan bekas plastik

Barangan terpakai ini paling banyak kegunaannya dan boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk perhiasan.

Antaranya bunga hiasan, bekas penyimpanan, lampu, dinding, kotak bingkisan, tabung, pasu, tirai, jam dinding, rak surat khabar dan permainan kanak-kanak.

Botol mengambil masa ratusan tahun untuk lupus sepenuhnya, pendekatan ini dapat menyelamatkan alam sekitar serta menjaga keindahan alam sekitar.

5. Tin kosong

Kegunaan tin kosong juga banyak yang boleh dijadikan seperti telefon mainan, tempat letak perkakasan dapur, bekas barangan kecil di dalam laci, bekal lilin dan sebagainya.

Cuma perlu gunakan kreativiti untuk menambah baik tin supaya kelihatan menarik.

Selepas ini tiada lagi longgokan tin kosong di belakang rumah kerana dijadikan produk serba guna.

6. Kotak

Boleh diolah menjadi rak dinding mini, rak mini alat tulis, kotak riben, kotak ubat, bekas benih semaian dan sebagainya.

Hiaskan dengan sedikit pembalut kertas yang berwarna-warni pastinya ramai yang akan teruja untuk memilikinya.

Bagaimanapun hendaklah memastikan ia diletakkan di tempat berteduh daripada hujan bagi mengelak daripada rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:07 AM