GURU atau pembantu pengajar lebih mudah memantau jumlah murid dalam ruang yang ditandakan.
GURU atau pembantu pengajar lebih mudah memantau jumlah murid dalam ruang yang ditandakan.
Suliati Asri

SEKOLAH kembali di buka! Garis panduan pengurusan sekolah dengan mengambil kira langkah bagi

mengawal penularan pandemik Covid-19 juga disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penjagaan kesihatan dan amalan penjarakan fizikal amat penting dalam pengurusan sekolah bagi mengelakkan penularan dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah.

Selain langkah penjarakan fizikal dan penjagaan kesihatan dalam ruang pembelajaran, bagaimana pula penjarakan fizikal di persekitaran luar bilik darjah?

Sedar atau tidak, persekitaran luar sebenarnya boleh dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran terutama untuk peringkat sekolah rendah dan kelas pendidikan khas.

Menurut Pensyarah Jabatan Senibina Landskap Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Shureen Faris Abd Shukor, salah satu cabaran selepas pandemik Covid-19 adalah untuk mengaplikasikan reka bentuk dalam membina persekitaran luaran serta fasiliti yang mampu menghasilkan perlakuan positif dalam kalangan pelajar.

"Rangsangan deria melalui warna yang terang dan persekitaran hijau mampu menimbulkan keceriaan di sekolah di samping merangsangkan pemikiran pelajar.

"Elemen reka bentuk boleh memainkan peranan dalam membantu pengawalan penjarakan fizikal di persekitaran luar bilik darjah seperti di kantin, kawasan permainan dan taman sekolah," katanya.

PENGGUNAAN bentuk serta warna untuk menandakan jarak ketika aktiviti di kantin.
PENGGUNAAN bentuk serta warna untuk menandakan jarak ketika aktiviti di kantin.

BENTUK pada lantai yang berbagai saiz serta warna untuk menandakan kedudukan fasiliti.
BENTUK pada lantai yang berbagai saiz serta warna untuk menandakan kedudukan fasiliti.

Warna dan bentuk

Kata Dr Shureen, antara langkah pengawalan tambahan untuk penjarakan fizikal yang boleh dipertimbangkan bagi kawasan aktif seperti kantin adalah dengan menggunakan elemen reka bentuk.

"Penggunaan bentuk seperti bulatan dan bentuk lain boleh diadakan di permukaan lantai untuk menandakan jarak yang diperlukan apabila beratur untuk membeli makanan.

"Aplikasi warna yang terang pada bentuk yang ditandakan akan menambah keberkesanan dalam menarik perhatian pelajar mengenai peraturan disediakan ketika urusan di kantin," katanya.

Penyediaan fasiliti seperti tempat membasuh tangan dan sanitasi juga perlu diletakkan sebelum memasuki persekitaran yang aktif seperti kantin, taman sekolah dan kawasan permainan.

"Reka bentuk kreatif alatan membersih tangan boleh mendorong pelajar menggunakan fasiliti ini dengan lebih kerap. Penggunaan bentuk dan warna juga boleh ditandakan di lantai untuk setiap ruang fasiliti sebagai indikasi penjarakan fizikal dalam kalangan pelajar.

"Ada sesetengah sekolah yang mempunyai kemudahan kawasan permainan. Jadi, indikasi ruang dan keperluan memastikan jumlah pelajar pada sesuatu masa boleh juga ditanda dengan menggunakan bentuk yang dicat pada permukaan kawasan permainan.

"Guru atau pembantu pengajar lebih mudah memantau jumlah murid dalam ruang yang ditandakan bagi memenuhi keperluan garis panduan penjarakan fizikal yang sesuai," tambahnya.

HADKAN masa dan bilangan pelajar dalam kawasan bulatan permainan yang ditetapkan.
HADKAN masa dan bilangan pelajar dalam kawasan bulatan permainan yang ditetapkan.

PENGGUNAAN pokok renek sebagai pembahagian kerusi untuk mengawal jarak.
PENGGUNAAN pokok renek sebagai pembahagian kerusi untuk mengawal jarak.

Penggunaan landskap

Menurut Dr Shureen, selain penggunaan warna dan bentuk, landskap juga boleh memainkan peranan dalam membantu memastikan penjarakan sosial dengan menggunakan kawasan luaran hijau dimanfaatkan sebagai sebahagian dari kawasan pembelajaran.

"Tanaman sebenarnya boleh digunakan sebagai pembahagi ruang di taman sekolah untuk tujuan mengawal pergerakan pelajar.

"Selain itu, tanaman seperti tumbuhan renek atau pokok bersaiz kecil boleh diaplikasikan dalam fasiliti taman di sekolah yang berfungsi sebagai pembahagi kepada kerusi rehat untuk tujuan penjarakan sosial," katanya yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang reka bentuk kawasan luaran hijau berciri restoratif, reka bentuk landskap golongan khas dan landskap institusi kesihatan.

"Aplikasi reka bentuk bukan sahaja mampu meningkatkan nilai estatik sekolah, malah berfungsi sebagai elemen membantu pengawalan jangkitan dalam kalangan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 7:01 AM