Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP/Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia mungkin mengimport lebih banyak gas untuk tenaga elektrik jika kerajaan tidak membuat perubahan mampan yang diperlukan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, setakat tahun lalu Malaysia mengimport 25 peratus gas untuk menjana tenaga elektrik.

Katanya, keadaan ini dilihat akan berterusan di mana tahun ini negara dijangka mengimport sehingga 30 peratus gas untuk tenaga elektrik.

"Kita negara yang sudah terbiasa dengan tenaga elektrik yang murah dan dilihat tidak bermasalah.

"Tenaga elektrik murah ini jugalah yang sebelum ini menjadi salah satu daya tarikan kepada pelabur untuk melabur ke dalam negara kerana kita tawarkan tarif elektrik yang antara termurah di rantau ini.

"Tahun lalu jumlah gas yang kita gunakan untuk menjana elektrik, 25 peratusnya perlu diimport dan tahun ini dijangka jumlah itu meningkat kepada 30 peratus.

"Sekiranya keadaan ini berterusan sudah pasti pengeluaran gas dalam negara semakin menurun dan jika tiada sebarang tindakan dibuat menjelang 2050, kita akan bergantung kepada import gas untuk menjana elektrik negara.

"Kita sudah melihat apa yang berlaku kepada negara lain yang mengimport gas dan kemudian berlakunya isu geopolitik seperti perang antara Ukraine dan Rusia," katanya.

Beliau berkata demikian di program Intan Minister's Conversation (IMC) 2024 di sini, hari ini, di bawah anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

IMC adalah salah satu daripada Program Bicara Intan membabitkan pemimpin tinggi kerajaan dan juga perkhidmatan awam yang membincangkan perkara berimpak tinggi berkaitan isu dan dasar semasa negara, serta berskala besar dengan tema tertentu.

Wacana untuk siri IMC yang pertama ini memfokuskan berkenaan usaha dan upaya pembinaan dan pembangunan ekonomi yang mampan di negara kita demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Rafizi turut menyentuh mengenai keperluan kerajaan untuk mengukuhkan ekosistem semikonduktor negara.

"Untuk industri reka cipta cip mempunyai skala besar, selalunya negara lain mereka sudah mempunyai barangan keluaran mereka yang terkenal di pasaran global sebagai contoh jenama Samsung dan Apple.

"Kita ada cabaran kerana negara belum ada satu barang jenama dari Malaysia menjadi produk elektronik yang digunakan oleh isi rumah tempatan.

"Oleh itu, untuk peringkat awal bagi memudahkan firma yang berkecimpung dalam reka cipta semikonduktor ini, paling kurang mempunyai lonjakan awal. Jika tidak mereka ini perlu bersaing 100 peratus dengan pemain industri global di seluruh dunia.

"Untuk itu kita perlukan dasar membolehkan sebahagian daripada kelengkapan negara ini menggunakan cip tempatan.

"Jadi perkara ini harus dipertimbangkan di mana kita perlu membina industri semikondutor yang bersandarkan reka cip yang lebih baik kerana ia satu ekosistem, jadi kerajaan perlu melihat untuk memperkukuhkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 4:58 PM