IKAN koi menjadi elemen penting dalam rekaan landskap inspirasi taman Jepun.
IKAN koi menjadi elemen penting dalam rekaan landskap inspirasi taman Jepun.
Nurul Husna Mahmud


Di Jepun, ikan koi adalah simbolik kepada tuah dan kemakmuran, sementara perkataan 'koi' itu sendiri bermaksud cinta.

Secara tidak langsung ikan berkenaan memberi perlambangan kepada nilai persahabatan dan kekeluargaan yang utuh dalam masyarakat negara matahari terbit itu.

Tidak hairanlah apabila terbit idea untuk merealisasikan konsep taman Jepun, ikan koi antara elemen yang 'wajib' ada sebagai pelengkap kepada penataan landskap itu.

Elemen itu juga menjadi fokus kepada Fariduddin Sahari, 34, apabila beliau memilih tema landskap yang sesuai untuk memperindahkan lamannya.

Kata Fariduddin, idea taman berkonsepkan 'oriental' atau taman mini Jepun versi tersendiri dilihat pilihan wajar dalam penataan laman rumahnya yang terletak di Pontian, Johor.

"Dari mula membeli rumah lagi, saya sudah merancang kewujudan landskap atau taman sendiri di laman rumah.

"Kebetulan saya bermula membela ikan koi tempatan, hobi itu menjadi semakin serius apabila beralih memelihara ikan koi import dari Jepun yang lebih besar.

TAMAN mini menjadi tempat kegemaran buat Fariduddin dan keluarga untuk bersantai.
TAMAN mini menjadi tempat kegemaran buat Fariduddin dan keluarga untuk bersantai.

"Atas faktor itu, saya terpaksa naik taraf kolam asal yang pada mulanya memiliki panjang berukuran 0.9 meter kepada 1.8 meter bagi membolehkan ikan peliharaan boleh membesar dengan baik," katanya.

Tambah Fariduddin, idea taman mini Jepun juga menepati ciri-ciri landskap idamannya yang juga memiliki perincian batu hiasan unik selain unsur air terjun.

"Saya sangat sukakan unsur semula jadi yang diketengahkan dalam taman Jepun kerana menampilkan batu hiasan unik dan kehijauan semula jadi terutama pohon buluh.

"Meskipun tidak dapat 'datangkan' unsur semula jadi seperti mana yang ada dalam taman sebenar, saya masih selitkan 'imej' itu menerusi batu ukiran hiasan yang terdapat dalam landskap ini.

"Boleh lihat ada hiasan seperti buluh, batu hiasan, batu dengan ukiran menyerupai pokok dan tumbuhan renek di setiap sudut atau sisi kolam.

"Paling membuatkan landskap ini lebih mengasyikkan ialah apabila air terjun turut dimuatkan dalam rekaan kolam terbabit untuk menyuntik suasana seperti di alam semula jadi.

KOLAM turut dilengkapi lampu untuk pencahayaan jika bersantai di waktu malam .
KOLAM turut dilengkapi lampu untuk pencahayaan jika bersantai di waktu malam .

"Unsur kayu dilengkapkan menerusi pondok rehat yang terletak di sebelah kanan kolam. Sambil melihat ikan, saya dan ahli keluarga boleh bersantai sambil halwa telinga menikmati bunyi air terjun," katanya.

Kata Fariduddin lagi, usaha merealisasikan taman mini itu turut mendapat sokongan isteri tercinta, Murni Nurzeila Mohamad Fuzi, 34.

"Bagi menyiapkan taman atau landskap terbaru ini, tiga bulan masa diambil bermula dari idea sehinggalah mencari tukang dan menyiapkannya.

"Isteri banyak membantu kerana kebetulan kami berkongsi hobi yang sama. Kami mendapat ilham daripada Internet termasuk Facebook komuniti dekorasi laman dan banyak lagi.

"Di sini saya dapat bertanya dengan mereka yang berpengalaman untuk mendapat inspirasi terutama rekaan landskap yang sesuai mengikut bajet," katanya.

Cabaran untuk merealisasikan taman impian akuinya, selain ruang terhad, komitmen untuk memastikan setiap elemen sentiasa dalam keadaan baik.

"Kolam saya ini kos penyelenggaraannya rendah tetapi komitmen menjaganya tinggi kerana kebanyakan sistem adalah manual.

PONDOK kayu menjadi tempat istirehat.
PONDOK kayu menjadi tempat istirehat.

HIASAN menyerupai buluh antara elemen menepati motif oriental atau taman Jepun.
HIASAN menyerupai buluh antara elemen menepati motif oriental atau taman Jepun.

"Risiko awal hanyalah membabitkan bulan pertama apabila kolam siap iaitu perlu mendapatkan suhu dan kualiti air tepat bagi koi diimport dari Jepun.

"Suhu perlu rendah iaitu antara 20 hingga 25 darjah Celsius dan untuk kolam saya ini hanya boleh memuatkan antara lapan hingga 10 ekor ikan koi sahaja," katanya.

Difahamkan jika terlalu banyak ditempatkan dalam kolam berkenaan, ikan koi itu tidak dapat membesar dengan baik.

Taman mini milik Fariduddin itu bukan hanya menjadi tumpuan ahli keluarganya, malah jiran dan kenalan turut datang untuk menyaksikan keunikan air terjun dan bermain dengan ikan koi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 6:01 AM