MEMBERI aura ketenangan kepada pemilik.
MEMBERI aura ketenangan kepada pemilik.
LANDSKAP yang kemas dan teratur.
LANDSKAP yang kemas dan teratur.
Muhamaad Razis Ismail


Taman Jepun atau lebih dikenali sebagai 'Japanese Garden' antara konsep menjadi pilihan mereka yang inginkan landskap tidak memerlukan penyelenggaraan yang tinggi dan kerap.

Dengan menitikberatkan semangat minimalis, taman Jepun banyak menggunakan elemen batu dan pokok malar segar yang lebih mudah dijaga serta mampu hidup dalam tempoh yang lama.

Biarpun konsep ini berasal dari negara matahari terbit, namun landskapnya sesuai dibina di negara ini dengan penyesuaian pokok yang bermandiri dengan iklim di sini.

Perkara ini diakui pengedar suplemen, Mohd Zakaria Hamzah yang membina sendiri landskap berkonsepkan taman Jepun digabungkan dengan taman zen di rumahnya di Kuala Terengganu, Terengganu sejak 2016.

Bapa kepada empat cahaya mata ini menggunakan ilmu dan pengalamannya sebagai perunding landskap sambilan untuk membina landskap itu di bahagian belakang serta tepi rumah jenis Semi-D.

Pengalaman membina landskap sama di rumah arwah bapanya, memberi inspirasi kepadanya untuk memiliki taman selepas memiliki rumah sendiri.

Melihat gambar yang dikongsikan, suasana rumah Mohd Zakaria umpama berada di sebuah taman di Jepun yang dipenuhi pelbagai jenis pokok hijau, batu, batu tanglung Jepun dan kolam ikan koi.

Sesiapa sahaja yang berada di rumah ini, pasti akan dapat merasai aura ketenangan yang disalurkan daripada taman unik ini.

‘TSUKUBAI’ antara elemen penting dalam landskap taman Jepun.
‘TSUKUBAI’ antara elemen penting dalam landskap taman Jepun.

Lebih menarik perhatian penulis adalah ketelitian pemilik rumah ini dalam membuat perancangan untuk memastikan impiannya menzahirkan landskap idaman menjadi kenyataan.

Mohd Zakaria berkata, sebaik memperoleh kunci, langkah pertama yang dibuat adalah menanam pokok teduhan seperti pokok bucida dan 'tower tree' yang berusia dua hingga tahun.

"Sebelum pasang kipas atau lampu dalam rumah, saya tanam dulu pokok ini supaya rumah menjadi teduh dan sejuk. Cahaya matahari yang memancar dihalang tumbuhan besar ini.

"Kemudian ia diikuti dengan beberapa proses lain termasuk membuat 'ground clearing', memasang batu kerikil, membuat pemijak kaki dan sebagainya.

PENGGUNAAN batu besar untuk menampakkan kolam ikan koi seperti semula jadi.
PENGGUNAAN batu besar untuk menampakkan kolam ikan koi seperti semula jadi.

"Proses ini saya lakukan dengan bantuan dua pekerja yang mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan membabitkan kos sekitar RM30,000," katanya.

Menurutnya, untuk membuat kolam, dia hanya menggunakan kanvas sebagai asas yang kemudian ditutup dengan batu-batuan untuk menampakkan unsur semula jadi.

"Seterusnya saya membuat landskap lembut atau 'softscape' dengan menanam pelbagai jenis pokok berbau wangi seperti pokok Santalia sp, Muraya Paniculata dan sebagainya.

"Saya turut menggunakan pokok topiari seperti pokok Ixora, Lorapotelum sp, Ficus macrophylla, Eugenia papilose serta menggunakan rumput 'kyoto dwarf' untuk dijadikan sebagai 'ground cover' di seluruh kawasan taman ini

BATU tanglung Jepun menjadikan taman unik dan menarik.
BATU tanglung Jepun menjadikan taman unik dan menarik.

"Pagar rumah dicat dengan warna pudar dan ditutup menggunakan pokok jenis menjalar seperti Focus pumila" katanya.

Katanya, bagi menambahkan keunikan taman ini, dia turut menggunakan elemen penting dalam landskap Jepun iaitu 'tsukubai.'

"Seperti adat masyarakat tradisional Melayu yang menggunakan tempayan, 'tsukubai' dalam adat masyarakat Jepun juga digunakan untuk membasuh kaki sebelum masuk rumah.

"Di Jepun, 'tsukubai' dibina menggunakan buluh sebenar, tapi saya guna batang PVC yang dicat seperti warna buluh untuk mengurangkan kerja penggantian dan penyelenggaraan," katanya.

POKOK cili mewujudkan kombinasi warna-warni.
POKOK cili mewujudkan kombinasi warna-warni.

Tambahnya, penyelenggaraan landskap ini lebih mudah dan tidak membabitkan kos yang tinggi berbanding konsep landskap lain.

"Penggunaan lebih banyak pokok hijau, menjadikannya ia lebih mudah dijaga dan lebih tahan lama.

"Saya hanya perlu sapu daun yang gugur, menyiram pokok, membaja (sebulan sekali) dan memangkas pokok bonsai tiga bulan sekali. Malah, kolam dicuci setahun dua sekali sahaja," katanya.

Bercakap berkenaan susunan pokok di sekitar taman, tumbuhan ditanam mengikut saiz pokok untuk mewujudkan komposisi yang seimbang.

KOLAM ikan koi berfungsi menyejukkan rumah.
KOLAM ikan koi berfungsi menyejukkan rumah.

"Pokok teduhan bersaiz besar ditanam di bahagian paling belakang, diikuti pokok sederhana tinggi, pokok renek di bahagian tengah dan pokok jenis penutup bumi di bahagian hadapan.

"Susunan bertingkat ini penting supaya pandangan 'audien' terarah dan semua pokok tidak terlindung," katanya.

Jelasnya, dengan mewujudkan landskap di rumah, ia dapat memberi ketenangan dan menyejukkan rumah dengan elemen kehijauan serta susun atur laman yang menarik disesuaikan dengan ruang laman yang terhad.

"Selain itu, ruang ini dikhaskan untuk aktiviti keluarga dan menjadi 'studio outdoor' untuk saya mengambil gambar pelanggan," katanya yang juga jurugambar sambilan.

MOHD Zakaria bersama empat anaknya.
MOHD Zakaria bersama empat anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 6:20 AM