APLIKASI elemen satah menegak dan melintang dalam reka bentuk menyumbang kepada landskap visual yang dramatik serta estetik. FOTO  Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor
APLIKASI elemen satah menegak dan melintang dalam reka bentuk menyumbang kepada landskap visual yang dramatik serta estetik. FOTO Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor
Hartini Mohd Nawi

SITUASI terkurung dan tiada pandangan luaran hijau juga antara penyumbang kepada isu kesihatan mental seperti depresi, keresahan dan kerisauan melampau dalam kalangan masyarakat negara ini.

Ia ekoran langkah pencegahan penularan pandemik Covid- 19 menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan kerajaan.

Terdapat beberapa sebab mengapa kawasan hijau mempunyai perkaitan dengan tahap kesihatan dan kebahagiaan.

Paling ketara, pokok membantu dalam penghasilan udara segar.

Menurut Pensyarah Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Shureen Faris Abd Shukor pendedahan kepada alam bercirikan semula jadi dikaitkan dengan pengurangan tekanan darah dan minda.

Terdapat juga keadaan di mana berada di kawasan hijau boleh memotivasikan seseorang untuk menjadi lebih aktif.

KEDUDUKAN kerusi taman yang dijarakkan boleh memastikan pengguna kawasan luaran hijau menikmati keindahan taman dengan selamat. FOTO  Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor
KEDUDUKAN kerusi taman yang dijarakkan boleh memastikan pengguna kawasan luaran hijau menikmati keindahan taman dengan selamat. FOTO Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor

"Menikmati persekitaran hijau dari tingkap atau secara visual mungkin akan menjadi sebahagian daripada normal baharu akibat dari penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

"Berdasarkan pelbagai penyelidikan berkaitan dengan reka bentuk landskap dan daripada aspek psikologi persekitaran, memandang ke arah kawasan persekitaran luaran hijau terbukti mampu mengurangkan tekanan mental dan meningkatkan daya tumpuan seseorang.

"Keperluan seperti penjarakan sosial dalam aktiviti riadah dan rekreasi di persekitaran luaran hijau juga perlu diberi perhatian. Kedudukan kerusi taman, keluasan pejalan kaki dan memaksimumkan aspek visual antara perkara yang perlu difikirkan," katanya.

Persoalannya sekarang, apakah perubahan pada reka bentuk landskap yang perlu diambil kira pada zaman normal baharu ini untuk membolehkan pengguna menikmati landskap dengan lebih berkesan dan menarik?

Pakar reka bentuk kawasan luaran hijau bercirikan restoratif, reka bentuk landskap golongan khas dan landskap institusi kesihatan turut berkongsi landskap visual seharusnya diberi penekanan dalam setiap reka bentuk landskap terutama pada situasi selepas pandemik itu.

"Kajian menunjukkan 87 peratus daripada persepsi minda manusia adalah melalui pandangan. Faktor ini menambahkan lagi kepentingan landskap visual dalam memainkan peranan penting ketika pejarakan sosial diperlukan untuk pelbagai aktiviti di kawasan luaran hijau.

ELEMEN air membentuk garisan yang membentuk kontas dengan persekitaran antara aspek landskap visual berkesan. FOTO  Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor
ELEMEN air membentuk garisan yang membentuk kontas dengan persekitaran antara aspek landskap visual berkesan. FOTO Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor

"Apakah ciri-ciri yang boleh membuatkan landskap lebih menarik secara visual? Salah satu langkah adalah dengan mengenali prinsip asas untuk reka bentuk landskap visual.

"Terdapat beberapa elemen asas yang boleh diaplikasi untuk reka bentuk landskap visual, antara yang mudah adalah elemen titik, garisan dan satah," katanya.

Dr Shureen berkata, titik boleh didefinasikan sebagai penanda kedudukan di suatu ruang.

Ia memerlukan dimensi atau ruang sebagai tarikan.

"Contohnya objek kecil atau jauh boleh dianggap sebagai titik yang menjadi tarikan sesebuah landskap. Objek landskap seperti sebatang pokok di kedudukan strategik, titik fokal atau struktur vertikal boleh bertindak sebagai kontras dengan persekitaran dan berfungsi untuk menarik perhatian.

"Garisan pula antara unjuran dari titik. Elemen ini penting untuk landskap visual kerana kerana garisan antara salah satu cara bagaimana otak memproses maklumat yang diperoleh secara pandangan," katanya.

ELEMEN asas iaitu garisan dan satah melalui penggunaan pokok di kawasan perumahan bertingkat. FOTO  Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor
ELEMEN asas iaitu garisan dan satah melalui penggunaan pokok di kawasan perumahan bertingkat. FOTO Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor

Malah, katanya ada kajian yang mengatakan terdapat sel khas dalam otak yang berfungsi untuk mengenal pasti sesuatu objek hanya melalui pemerhatian kepada garisan.

Maklumat ini menunjukkan bagaimana otak amat mudah untuk melihat dan memproses persekitaran yang mempunyai elemen bergarisan.

"Bermula daripada garisan, mata akan terus mengikuti unjuran dalam reka bentuk landskap yang dihasilkan. Elemen asas lain yang boleh diaplikasi dalam reka bentuk landskap visual adalah penggunaan satah.

"Dalam persekitaran binaan, peranan satah boleh ditemui dalam bentuk dinding, bumbung atau lantai. Satah dalam landskap visual adalah lebih organik dan tidak kaku.

"Contoh terbaik satah semula jadi dalam landskap visual yang memberi ketenangan minda adalah pandangan ke arah permukaan air tasik tanpa sebarang gangguan pergerakan pada air," katanya.

Malah, kombinasi elemen asas yang dinyatakan itu boleh membantu membentuk landskap visual dengan ciri-ciri estetik yang boleh dinikmati sama ada oleh penghuni dari kediaman bertingkat atau mereka yang berada secara fizikal di kawasan hijau awam.

"Reka bentuk landskap luaran hijau ketika normal baharu seharusnya perlu mengambil kira bagaimana ia boleh dinikmati bukan sahaja secara fizikal, malah juga secara visual.

"Menikmati persekitaran hijau perlu diteruskan terutama untuk kesihatan minda selepas keadaan pulih dari pandemik yang melanda.

"Landskap dengan visual menarik dan fasiliti yang menepati prosedur penjarakan sosial akan membantu meningkatkan penggunaan persekitaran luar oleh masyarakat di negara ini," kata Dr Shureen mengakhiri perbualan.

DR Shureen. FOTO  Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor
DR Shureen. FOTO Ihsan Dr Shureen Faris Abd Shukor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 10:07 AM