MHD Amin (dua dari  kanan) melihat pokok bonsai ketika melakukan lawatan persiapan Kuala Lumpur Orchid & Bonsai Show 2017.
MHD Amin (dua dari kanan) melihat pokok bonsai ketika melakukan lawatan persiapan Kuala Lumpur Orchid & Bonsai Show 2017.
Rizanizam Abdul Hamid dan Mohd Wahyuddin Jamil Khair

Kuala Lumpur: Sebanyak 300 bonsai dan 500 spesies orkid bakal dipamerkan pada Festival Orkid dan Bonsai Kuala Lumpur 2017 (KLOBS2017) yang akan berlangsung dari Sabtu hingga 10 Disember ini.

Pameran yang tidak mengenakan bayaran masuk di Taman Pudu Ulu, Cheras itu bertujuan mempromosikan taman berkenaan yang mengalami proses penjenamaan semula sejak April lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata, pameran berkenaan menyasarkan 70,000 pengunjung berbanding 40,000 pada tahun lalu.

“KLOBS2017 akan bermula jam 9 pagi hingga jam 10 malam dan diadakan pada cuti sekolah bagi memberi peluang kepada warga kota untuk beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya ketika melawat persiapan program itu, semalam.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menyediakan bas bermula dari Dataran Merdeka ke taman berkenaan.

“Aktiviti sampingan seperti pertandingan bola jaring dan futsal turut diadakan bagi memeriahkan lagi festival berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jabarilah Jaafar berkata, pertandingan orkid dibahagikan mengikut kategori seperti Pertandingan Landskap Orkid Antarabangsa, Pertandingan Pameran Landskap Orkid Tempatan dan Pertandingan Orkid Individu.

Jelasnya pameran orkid kali ini disertai 15 negara ASEAN dan Asia termasuk 23 peserta menyertai pertandingan mewakili negara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, China, Hong Kong, India, Macau, Jepun dan Taiwan.

“Dianggarkan lebih 500 spesies orkid dari negara-negara terbabit akan dipamerkan dengan jumlah hadiah keseluruhan ditawarkan berjumlah lebih RM50,000 melalui pelbagai kategori yang dipertandingkan.

“Beberapa pokok hybrid baru orkid Malaysia juga akan diperkenalkan iaitu dari jenis Vanda, Aranda dan Cattleya selain terdapat gerai jualan dari pelbagai produk orkid yang terbaharu di pasaran,” katanya.

Manakala bagi peminat bonsai pula, DBKL akan bekerjasama dengan Duta Kelab Bonsai Antarabangsa untuk mempamerkan 300 bonsai terbaik terdiri daripada tujuh spesies pokok untuk dipertandingkan mengikut tujuh kategori utama.

Kategori yang dipertandingkan adalah Kategori Besar (bersaiz 701 mm hingga 1,200 mm), Kategori Sederhana (351mm hingga 700mm), Kategori Kecil (150mm hingga 350mm) dan Kategori Mini untuk pokok bersaiz bawah 150 mm.

“Spesies pokok yang layak untuk dipertandingkan terdiri daripada spesies Wrightia Religiosa, Juniperus/Ficus, Pokok Pulau, Cucur Atap dan Anek selain dua spesies baru iaitu Penjing dan Mini yang akan diperkenalkan untuk pertandingan.

“Terdapat juga anugerah istimewa iaitu Anugerah DBKL, Anugerah Kelab Bonsai Antarabangsa serta Anugerah Permaisuri Bunga,” katanya sambil menambah demonstrasi kemahiran membuat bonsai turut diadakan secara percuma oleh lima pakar bonsai.

Menurut Jabarilah, secara keseluruhan KLOBS 2017 menawarkan 55 gerai pameran dan jualan tanaman dengan pecahan 10 gerai jualan orkid, 10 gerai jualan bonsai, 28 gerai jualan tanaman dan bahan landskap serta empat gerai pameran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 6:57 AM