PELAJAR bersama pokok orkid yang ditanam.
PELAJAR bersama pokok orkid yang ditanam.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Lazimnya aktiviti menanam bunga terutama orkid hanya sinonim dengan wanita tetapi berbeza di Sekolah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, yang menerapkan budaya menanam dan menguruskan orkid untuk kalangan pelajar lelakinya.

Program Tanaman Orkid SMK Sultan Sulaiman itu disertai lebih 30 pelajar lelaki tingkatan dua dan empat sekali gus bertanggungjawab menguruskan 100 orkid spesies dendrobium sejak Januari 2015.

Peserta program, Muhammad A’qil Aiman Shukri, 16, berkata, dia seronok dan paling penting dapat mempelajari teknik menanam serta menjaga orkid dengan kaedah yang betul.

“Penjagaan orkid tidak terlalu rumit tetapi ia mempunyai kaedah tertentu bagi memastikannya segar dan mengeluarkan bunga yang cantik sekali gus membantu mengindahkan kawasan sekolah.

“Saya sendiri menanam pokok orkid di rumah selepas menyertai program ini. Pendedahan yang diberikan melalui program itu membolehkan saya membantu ibu menguruskan tanaman bunga di kawasan rumah.

“Paling penting aktiviti menanam dan menguruskan orkid itu boleh dijadikan sebagai aktiviti pada masa lapang selain menggalakkan pelajar lelaki menceburi bidang pertanian termasuk perusahaan nurseri,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nik Muhammad Azeem Nik Rushdi, 16, berkata, aktiviti menanam orkid itu secara tidak langsung boleh memberi ketenangan selepas mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas.

ORKID menjadi hiasan di bangunan sekolah.
ORKID menjadi hiasan di bangunan sekolah.

“Sebelum ini, kegiatan menanam pokok terutamanya yang membabitkan pokok bunga hanya dijalankan pelajar perempuan dan ketika di peringkat awal diarahkan guru untuk terbabit menyebabkan ia seakan-akan janggal serta tidak sesuai untuk kami.

“Bagaimanapun, selepas sebulan diberi tanggungjawab untuk menjaganya, ternyata ia menjadi satu pengalaman berharga dan menggembirakan seterusnya membangkitkan minat untuk meneruskannya,” katanya.

Menurutnya, selain banyak ilmu yang diperoleh daripada program, ia juga memberi kepuasan kepada diri sendiri apabila pokok yang dijaga sihat dan mengeluarkan bunga cantik.

Izhakimi Nik Che Rosli, 14, pula berkata, dia malu untuk menyertai program menanam orkid itu kerana aktiviti terbabit lebih sinonim dengan perempuan tetapi selepas menyertainya tanggapannya berubah malah berasa bangga kerana pokok orkid dijaganya mengeluarkan bunga yang cantik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:47 AM