PENGGUNAAN peralatan mahal bukan penentu keselesaan sebaliknya adunan perlu kreatif.
PENGGUNAAN peralatan mahal bukan penentu keselesaan sebaliknya adunan perlu kreatif.
Hafiz Ithnin


SEBENARNYA dalam menghias rumah bukan faktor betapa mahalnya sesuatu barangan itu menjadi kunci kepada keindahannya, tetapi ia bergantung kepada kreativiti seseorang itu dalam 'mengadunkan' segala ciri-ciri di dalamnya untuk mewujudkan pesona.

Perkara itu yang dikongsikan pemilik nama Zalira Zulkipli, 40, yang menghias rumah bersama suami, Muhammad Fakaruddin, 39.

Lebih menarik, mereka menghias rumah disewa. Pastinya bagi si pemilik, pasangan itu adalah penyewa dari syurga!

Zalira berkata, idea untuk menghias rumah itu ketika bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berasa bosan kerana terkurung dalam rumah bersama keluarga.

Jelasnya, dia mula membelek idea di media sosial yang berkongsikan mengenai hiasan dalaman. Akhirnya, dia dan suami melihat konsep Scandia boho mempunyai keunikan tersendiri.

"Saya dan suami sebenarnya gemarkan sesuatu yang antik, tetapi mampu kelihatan moden apabila disatukan dalam sesebuah ruang.

ANTARA kerusi terpakai yang dibeli dalam talian.
ANTARA kerusi terpakai yang dibeli dalam talian.

"Apatah lagi, bermain rona perabot coklat yang mendominasi kebanyakan perabot antik memerlukan kita bijak untuk menaikkan aura segarnya," katanya.

Zalira berkata, dalam konsep itu bukan sahaja barangan antik menjadi elemen utama, tetapi ia perlu diadunkan kehijauan supaya mampu menyegarkan lagi pandangan dalam rumah.

BILIK yang kemas dan mempunyai kesinambungan rona.
BILIK yang kemas dan mempunyai kesinambungan rona.

"Ketika PKP, mempunyai pokok atau tumbuhan hidup menjadi satu trend dan sebenarnya aktiviti mempunyai pokok atau tumbuhan hijau yang sesuai dalam rumah adalah sesuatu yang menyeronokkan berbanding jenis plastik.

"Pokok asli dalam rumah ini tidak begitu menjadi perangkap habuk kerana saya perlu menyiramnya. Sekali gus jika ada habuk, ia akan dibersihkan secara automatik," katanya.

Tambahnya, mempunyai pokok hidup dalam rumah juga memberi aura ketenangan yang tersendiri walaupun perlu rajin untuk menjaganya.

"Apabila sudah minat, kita akan pastikan pokok dalam rumah ini sentiasa terjaga. Pernah juga ada pokok yang tidak mampu bertahan lama, tetapi saya beli yang baharu. Harga juga tidak begitu mahal," katanya.

Ketika ditanya mengenai lokasi menjadi tumpuan membeli perabot, wanita ini berkata, ia sesuatu yang sukar untuk dijawab kerana hampir 90 peratus barangan dalam rumahnya adalah barangan terpakai.

"Ada pengikut di laman sosial yang bertanyakan mengenai kedai saya membeli perabot. Ia adalah soalan yang sukar untuk dijawab kerana saya beli daripada orang perseorangan yang menjualnya menerusi laman sosial.

"Sebagai peminat barangan lama, saya melihat platform media sosial pada hari ini amat membantu untuk saya sebagai peminat mendapatkan perabot dengan mudah dan harga juga amat berbaloi," katanya.

MEJA makan terpakai yang dikemaskan semula menjadi cantik.
MEJA makan terpakai yang dikemaskan semula menjadi cantik.

Jelasnya, dia dan suami tidak berbelanja besar dalam menghias rumah kerana barangan terpakai yang diperbaiki boleh kelihatan cantik jika dibaik pulih dan disesuaikan dengan kedudukan dalam rumah.

"Kadangkala apabila membuka laman sosial yang menjual barangan terpakai, ia kelihatan lusuh, tetapi apabila kita memperbaiki seperti mengecat semula, ia akan nampak mahal.

"Tambahan, barangan lama ini lebih tahan kerana bahan pembuatannya terutama kayu adalah jenis tahan lasak berbanding perabot masa kini," katanya.

Katanya, bagi memudahkan suai padan perabot lama dengan rumah, pemilihan rona asas di dinding memainkan peranan penting.

"Saya dan suami memilih rona putih kerana ia mudah untuk 'masuk' dengan semua warna perabot dan ia juga menjadikan kediaman lebih luas.

"Contohnya di bahagian dapur kami tidak begitu luas, tetapi apabila rona dinding putih diadunkan pula dengan warna perabot yang mempunyai kesinambungan putih dan coklat, ia nampak luas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:00 AM