PENCAYAHAAN penting bagi membangkitkan suasana dekorasi.
PENCAYAHAAN penting bagi membangkitkan suasana dekorasi.
Hafiz Ithnin


"Bagi saya tiada konsep. Selagi ia nampak sesuai, maka diletakkan perabot dan warna untuk menjadikan rumah saya tampak selesa," kata wanita berusia 41 tahun ini ketika ditanya mengenai konsep hiasan dalaman kediamannya.

Bagi Farrah Hilda Anuar dan suami, Khairul Ariffin Md Junit menghias rumah jika ingin 'meniru' konsep bersandarkan laman web atau foto di laman sosial sepenuhnya tidak akan menjadi kerana ia mungkin tidak sesuai dengan realiti rumah yang kita diami.

Dia dan suami baharu sahaja mendiami rumah dua tingkat itu pada awal tahun ini sebenarnya sudah membuat persiapan awal untuk menata hiasnya sebelum berpindah.

Kata Farah Hilda, seperti pemilik rumah baharu yang lain sudah pasti akan 'menyelak' pelbagai foto di laman sosial untuk mendapatkan idea.

"Selain itu, saya menggunakan sebuah aplikasi yang membolehkan kami menata hias ruang secara maya. Jadi, ia memberi kemudahan untuk saya memilih warna dan menyusun perabot.

"Boleh dikatakan, sebelum berpindah aplikasi itu sentiasa digunakan untuk mendapatkan gaya hiasan dalaman yang diinginkan," katanya.

Namun Farrah Hilda berkata, apabila mendapat kunci rumah itu perancangan seperti yang dibuat menerusi aplikasi itu tidak menjadi seratus peratus.

KESINAMBUNGAN rona perabot dan aksesori yang harmoni.
KESINAMBUNGAN rona perabot dan aksesori yang harmoni.

"Disebabkan itu saya katakan, kita boleh memasang impian untuk mendapatkan konsep yang diimpikan, tetapi untuk menerapkan seratus peratus tidak mudah.

"Jadi, bagi saya apabila mendapat sahaja kunci rumah, saya dan suami akan menyusun atur rumah mengikut keselesaan mata. Ia lebih realiti," katanya.

Katanya, secara amnya dia gemarkan rona putih sebagai penata utama dalam rumah kerana warna itu bukan sahaja tampak ringkas, malah mampu memberi kesan positif dalam rumah.

GAYA ringkas yang menarik.
GAYA ringkas yang menarik.

"Warna putih menjadi rona utama bagi saya dan suami kerana ia mampu menjadikan rumah ini nampak ringkas.

"Selain itu, warna putih mudah untuk diserasikan dengan pelbagai warna perabot yang lain. Lantas, perkara paling penting menjadikan warna perabot perlu mempunyai kesinambungan antara satu sama lain," katanya.

Katanya, bagi menjadikan rumah itu tampak lebih selesa, kelabu lembut menjadi pilihan bagi perabot dan putih yang mempunyai kesan kilauan.

BILIK tidur yang tampak mewah.
BILIK tidur yang tampak mewah.

"Selain itu, saya melihat apabila putih ini dilimpahi cahaya lampu jingga akan lebih tampak mewah. Jadi, pemilihan rona lampu juga adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan.

"Dengan perabot dan dinding mempunyai rona lembut mudah untuk saya memilih perhiasan atau aksesori yang boleh menjadi titik fokal. Misalnya, pokok tiruan dan permaidani mempunyai warna abstrak yang sedikit menonjol," katanya.

Tambahnya, persepsi mengenai pemilihan warna putih dalam rumah lebih cepat nampak kotor sebenarnya tidak tepat.

PEMILIHAN warna putih di dapur bukan menjadi masalah.
PEMILIHAN warna putih di dapur bukan menjadi masalah.

"Saya dan suami berpendapat, warna putih ini membolehkan kita lebih peka dengan tahap kebersihan dalam rumah.

"Perkara ini kerana apabila warna putih terkena kotoran akan lebih cepat menonjol dan ingin cepat untuk membersihkannya. Berbanding warna gelap, saya mungkin tidak perasan mengenai tahap kebersihan dinding itu sendiri," katanya.

Katanya, dia juga tidak 'gusar' apabila memilih warna putih di dapur kerana di pasaran ketika ini ada pelbagai jenis cat yang mudah dilap sahaja jika terkena kotoran.

"Malah untuk mengecat dapur biasanya kontraktor memilih jenis cat yang sesuai dengan ruang itu yang mempunyai kualiti lebih tahan lasak," katanya.

RONA putih jadi pilihan utama.
RONA putih jadi pilihan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 6:40 AM