RUMAH dan restoran bawah tanah.
RUMAH dan restoran bawah tanah.
Susunan Nurul Husna Mahmud


Tidak terbayang di fikiran penulis bagaimana keadaannya jika rumah dibina di dalam lubang atau di bawah tanah.

Itu bukan suatu yang mustahil bagi arkitek dari Jepun, Junya Ishigami apabila merealisasikan rekaan rumah dalam lubang bukan sahaja sesuai didiami malah menempatkan restoran milik cef, Motonori Hirata.

Struktur bangunan itu seolah-olah menyerupai keadaan dalam gua dengan bukaan melengkung dan tiang seperti stalagmit.

Uniknya binaan itu tidak terhasil secara semula jadi, sebaliknya menggunakan kaedah bancuhan konkrit yang dituang ke dalam lubang digali pada tanah. Lubang itu bertindak sebagai acuan membentuk struktur bangunan kediaman dan juga restoran.

Ia menonjolkan struktur dan rekaan unik sebaik konkrit sudah mengeras dan tanah di sekeliling dibuang.

Tidak membiarkan sumber sedia ada terbiar begitu sahaja, Junya menggunakan tekstur tanah berlumpur menutupi permukaan konkrit.

BAHAGIAN bumbung berwarna putih membuatkan ia menonjol.
BAHAGIAN bumbung berwarna putih membuatkan ia menonjol.

BILIK tidur juga tampak ringkas dan santai.
BILIK tidur juga tampak ringkas dan santai.

Teknik khusus yang digunakan masyarakat Jepun membaiki dinding tanah diadaptasikan dalam kemasan itu oleh arkitek terbabit.

Hasilnya membuatkan persekitaran kediaman tampak lebih 'tua' dan autentik seolah-olah sudah lama wujud.

Sementara itu, bahagian bumbung rumah itu pula dilitupi konkrit yang berwarna putih dengan bentuk beralun. Rekaan bumbung tampak lebih kontra dengan pokok dan tumbuhan di persekitarannya.

Ruang kediaman terletak di sebelah Selatan, manakala restoran pula di bahagian Utara.

Bukan hasil kerja semborono, namun Junya begitu teliti dengan setiap bentuk yang terhasil apabila menggunakan pelan tiga dimensi secara intensif supaya pasukan yang membina bangunan tahu posisi atau saiz bagi kerja pemasangan cerucuk atau ketika konkrit dituang.

RESTORAN tampak unik.
RESTORAN tampak unik.

SEPERTI dalam gua.
SEPERTI dalam gua.

Dari segi perincian ruang rumah itu mempunyai dapur yang selesa dan ruang makan boleh bertukar fungsi sebagai ruang sosial serta santai keluarga. Paling menonjol adalah ruang istirahat yang turut 'tenggelam' mewujudkan suasana lebih privasi.

Trend seni bina struktur bawah tanah antara aliran yang semakin popular dalam kalangan arkitek di serata dunia seperti Muzium Seni Datong di China dan rumah gua, NCaved di Greece, bertujuan mengurangkan impak visual terhadap projek mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 6:01 AM