HELMY dan isteri gemar mengelilingi dunia dan berkongsi inspirasi mereka menerusi tata rias Rumah Arau.
HELMY dan isteri gemar mengelilingi dunia dan berkongsi inspirasi mereka menerusi tata rias Rumah Arau.
KOLAM renang tumpuan utama.
KOLAM renang tumpuan utama.
Nurul Husna Mahmud


HANYA memandang pagar putih yang polos 'memisahkan' Rumah Arau dengan dunia luar.

Malah, pengunjung kediaman itu boleh merasakan aura berbeza dengan mana-mana kediaman sedia ada di negara ini

Menerusi paparan foto dikongsi pemiliknya, Helmy Faizal Mohd Kamal dan Tania Pawanteh Abdul Hamid, penulis sendiri seakan-akan 'diterbangkan' ke kepulauan Mediterranean kerana keunikan konsep global kontemporari yang menjadi latar utama dekorasi kediaman terbabit.

Menurut Helmy Faizal, 48, inspirasi dia dan isteri berdasarkan pengalaman peribadi ketika percutian ke serata dunia dan memilih konsep dirasakan menarik lalu diterjemahkan dalam tata hias Rumah Arau.

"Rumah ini asalnya sebuah rumah lama dan terbiar. Kami beli ketika pandemik Covid-19 dan keadaannya ketika itu sangat uzur kerana sudah dibina sejak 1974 .

"Bagi menampilkan Rumah Arau sehingga pada tahap ini, kami melakukan kerja pengubahsuaian besar-besaran termasuk ada struktur diroboh atau dibina semula.

"Tidak hanya dalam rumah, kerja-kerja pengubahsuaian meliputi sehingga ke luar rumah yang mana ruang laman berumput berubah menjadi tempat bersantai lengkap dengan fasiliti kolam renang," katanya.

BILIK tidur yang menggunakan motif batik.
BILIK tidur yang menggunakan motif batik.

Kata Helmy, idea segenap ruang sehingga kepada pagar kediaman itu diteliti bersama isteri kerana kedua-duanya mempunyai minat mendalam terhadap dekorasi kediaman.

Mengakui tidak hanya memikirkan nilai estetika, malah dia dan isteri mengambil kira praktikaliti ruang.

"Banyak perkara kami pertimbangkan ketika mengubah suai Rumah Arau termasuk dalam perancangan mahu menjadikannya rumah percutian unik di Perlis.

"Kami sesuaikan dengan keperluan ahli keluarga dan permintaan orang tempatan yang mahukan ruang rekreasi lebih peribadi atau mesra muslimah.

MENARIK bahagian rangka kayu antara tinggalan rumah lama dikekalkan.
MENARIK bahagian rangka kayu antara tinggalan rumah lama dikekalkan.

"Jadi datangnya idea mewujudkan kolam renang terlindung. Kami naikkan tembok tinggi supaya cipta ruang privasi kepada wanita yang mahu bersantai atau berenang di kolam renang," katanya.

Sementara itu, mengenai pemilihan global kontemporari sebagai konsep utama kediaman unik itu, dia dan isteri tidak lupa menggabungkan elemen dari timur dan barat untuk hadirkan kelainan dalam setiap ruang.

"Global kontemporari pada pengamatan kami ialah elemen yang kami nampak cantik dan menarik ketika mengembara, kami bawa pulang, selain digunakan dalam idea menghias kediaman ini.

"Ruang dalam rumah iaitu ruang tamu, ruang makan dan dapur konsepnya lebih terbuka. Manakala pemilihan aksesori atau perabot, kami banyak tonjolkan barangan berunsurkan kayu selain penggunaan warna natural.

KONSEP terbuka membuatkan ruang rumah lebih luas.
KONSEP terbuka membuatkan ruang rumah lebih luas.

"Konsep ini kerap dilihat dalam kediaman di Australia kerana nenek sebelah isteri menetap di Perth. Ia juga mempengaruhi cita rasa isteri yang begitu sukakan elemen semula jadi.

"Selain itu, kami kerap mengembara serata dunia dan Maghribi antara lokasi kegemaran. Kami tertarik dengan motif seni binaan dan hiasan di rumah percutian atau hotel di sana.

"Kami sesuaikan motif atau rekaan dari negara Afrika Utara itu di mana-mana sudut yang dirasakan sesuai untuk Rumah Arau," katanya.

ANTARA bilik tidur dirias dengan motif kayu, buluh dan warna natural.
ANTARA bilik tidur dirias dengan motif kayu, buluh dan warna natural.

Contoh penggunaan motif ala Maghribi oleh Helmy dan pasangannya dapat dilihat menerusi ruang ekstra berbentuk separa bulatan pada dinding bilik tidur dan tembok berhampiran kolam renang.

Meskipun tanpa pendidikan formal dalam seni tata hias, pasangan itu bijak dan kreatif menyusun atur ruang baik dalam mahupun luar kediaman.

Dengan menjadikan kolam renang fokus utama dalam kediaman terbabit, pasangan itu mula mengatur supaya terdapat aliran akses untuk semua ruang dalam rumah ke kolam renang.

"Setiap penempatan ruang dan sudut dalam rumah ini semuanya ikut visual atau bayangan kami. Seawal dari pintu pagar hingga laluan ke ruang utama dan setiap bilik, kami mahu semuanya ada akses terus kepada kolam renang.

UNIK pagar tembok serba putih yang membentengi pandangan luar ke dalam rumah.
UNIK pagar tembok serba putih yang membentengi pandangan luar ke dalam rumah.

"Kami terangkan idea dan gembira apabila arkitek serta kontraktor yang dilantik berjaya membina seperti yang kami visualkan.

"Memang sangat berbeza keadaan rumah sekarang berbanding dahulu. Namun kami ada tinggalkan sedikit 'kenangan' rumah lama.

"Antara struktur asal yang kami masih kekalkan adalah rangka kayu bumbung yang utuh menyokong bumbung baru.

"Kami cuma buang silingnya dan tulang atau rangka kayu. Pada bumbung kami kekalkan kerana ia menonjolkan lagi ruang dalam rumah selain menyuntik pesona 'rustic' seakan-akan rumah ladang di luar negara," katanya.

RUMAH sebelum diubah suai.
RUMAH sebelum diubah suai.

Tidak lupa dengan aspek lokaliti atau identiti tempatan, pasangan itu itu mengakui ada aksesori tertentu yang masih mengekalkan ciri-ciri Nusantara.

"Kami tidak lupa dengan asal usul tempatan. Kami gunakan motif batik dalam aksesori supaya ada ciri-ciri lokaliti.

"Impian kami ketika berada dalam Rumah Arau seolah-olah menjelajah serata dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:21 AM