FLOWER of Clouds di bandar Da Lat, Vietnam meraikan alam semula jadi di sekitarnya.
FLOWER of Clouds di bandar Da Lat, Vietnam meraikan alam semula jadi di sekitarnya.
Nurul Husna Mahmud

Pemenang perak bagi A' Design Award 2021 untuk kategori Arkitek, Bangunan dan Rekaan Struktur mengambil inspirasi bunga teratai tegak di permukaan tasik sebagai rekaan Menara Tinjau dan Kafe di Da Lat, Vietnam.

Menara yang diberi nama Flower of Clouds itu direka arkitek, Vu Van Hai dari firma Vha Architecs menampilkan struktur berketinggian 12 meter dengan keluasan bagi ruang kafe ialah 600 meter persegi pada ketinggian lapan meter.

Konsep berkenaan sesuai dengan reputasi Da Lat iaitu kawasan tanah tinggi dan menjadi tumpuan sebagai pusat penanaman bunga di negara itu selain biasanya mempunyai pemandangan awam mengagumkan.

 INSPIRASI daripada bunga teratai yang kelopaknya kembang.
INSPIRASI daripada bunga teratai yang kelopaknya kembang.

Dijangka dibina di sebuah lokasi berbukit dengan ketinggian 1,000 meter dari paras laut bagi memberi pandangan di sekitar kawasan itu yang turut popular sebagai destinasi pelancongan.

Sokongan utama dalam pembinaan struktur menara ialah penggunaan rangka besi selain diperkukuhkan dengan stuktur konkrit sebagai tapak asas.

Antara yang membuatkan rekaan itu menonjol dan cukup istimewa ialah saduran kelulu kapur (corten steel) yang mana memberi pesona kombinasi warna merah dan oren pada bangunan menara itu.

TURUT ada ruang landskap di kawasan bumbung menara.
TURUT ada ruang landskap di kawasan bumbung menara.

Dijangka bakal menjadi bangunan ikonik di bandar Da Lat, menara yang turut menempatkan kafe dan restoran makanan segera popular, turut meraikan alam semula jadi di sekitarnya.

Ini berdasarkan ruang di bumbung atau bahagian meninjau atas menara memberi pandangan 360 darjah sekitar kawasan berhampiran.

Melengkapi 'mood' pengunjung menikmati pemandangan di sana, bakal disediakan ialah taman atau landskap di kawasan itu.

Pembinaan menara itu dikatakan antara struktur penting dalam projek pembangunan pembinaan kompleks resort berkeluasan 250 hektar di kawasan berbukit itu.

TERDAPAT ruang makan di ketinggian lapan meter.
TERDAPAT ruang makan di ketinggian lapan meter.

Sementara itu, bagi akses masuk ke menara itu, pengunjung boleh melalui ruang dewan kecil yang terdapat di bahagian pintu masuk sebelum menuju tingkat ruang makan dan menara.

Terdapat juga laluan pejalan kaki di antara struktur besi membolehkan pengunjung menikmati pemandangan di celah ruang terbuka.

LOGAM berwarna jingga dan merah menjadikan menara itu kelihatan unik.
LOGAM berwarna jingga dan merah menjadikan menara itu kelihatan unik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:10 AM