GUA Rusa.
GUA Rusa.
Roslina Japar

Taman Negara Mulu menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf sejak 2000, sekali gus destinasi tarikan utama pelancong tempatan dan antarabangsa untuk mengunjungi Mulu, Sarawak.

Keunikan taman negara ini sudah pasti terletak pada bentuk geografi yang sangat unik dan didominasi tiga gunung iaitu Gunung Mulu, Gunung Api dan Gunung Benarat.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Taman Negara Mulu antaranya mendaki Pinnacles iaitu hasil formasi batu kapur yang tajam di Gunung Api, mendaki Gunung Mulu dan meneroka gua.

Baru-baru ini penulis bersama beberapa rakan berpeluang ke salah satu lokasi tumpuan di sini iaitu meneroka Gua Lang, Gua Rusa, Gua Angin dan Gua Air Jernih yang diatur oleh Borneo Mulu Showcave Tour selama dua hari satu malam.

Kami menaiki pesawat Maswing dari Kota Kinabalu yang mengambil masa perjalanan kira-kira 50 minit.

Sebaik tiba di Mulu seawal 10 pagi, kami disambut dengan penuh mesra oleh pemandu pelancong tempatan yang mesra disapa Yohanes.

Kami sangat teruja dengan pengembaraan kali ini kerana ini kali pertama menjejakkan kaki ke Mulu.

PERJALANAN ke Gua Angin dan Gua Air Jernih dengan bot.
PERJALANAN ke Gua Angin dan Gua Air Jernih dengan bot.

Pemandangan hutan yang luas dan lapangan terbang kecil berada di tengah-tengah antara puncak bukit dan batu yang menakjubkan membuatkan kami terpesona dengan keindahan destinasi pelancongan yang terletak di utara Sarawak itu.

Perjalanan kami dimulakan pada sebelah petang dengan melawat Gua Lang dan Gua Rusa. Kami mengambil masa kira-kira 45 minit dari pusat taman negara ke pintu masuk gua bersamaan dengan tiga kilometer perjalanan.

Tidak dinafikan kemudahan dalam taman negara ini sangat baik dengan laluan yang bersih dan teratur sepanjang perjalanan kami sehingga masuk dalam gua.

PENULIS (kiri) di hadapan pintu masuk Gua Lang dan Gua Rusa.
PENULIS (kiri) di hadapan pintu masuk Gua Lang dan Gua Rusa.

Kami menuju gua pertama iaitu Gua Lang yang disenaraikan antara gua tercantik dengan pembentukan pelbagai formasi stalaktit dan stalagmit. Gua Lang ini mendapat nama sempena nama penduduk tempatan yang menjumpai gua itu pada 1977 iaitu Lang Belarek.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke Gua Rusa yang hanya terletak bersebelahan Gua Lang.

Gua Rusa ini memiliki laluan sepanjang dua kilometer dikatakan dahulu menjadi tempat berlindung rusa. Menariknya, di gua terbesar di dunia turut menjadi habitat kepada kira-kira 12 spesies kelawar.

SUNGAI dalam Gua Air Jernih.
SUNGAI dalam Gua Air Jernih.

Taman Negara Mulu sememangnya terkenal dengan sistem gua batu kapur terbesar di dunia. Kemudahan terbaik dalam taman ini memudahkan perjalanan kami dalam gua.

Pada hari kedua, kami memulakan perjalanan seawal 8 pagi untuk melawat Gua Angin dan Gua Air Jernih yang disenaraikan sebagai gua terpanjang di Asia Tenggara.

Untuk ke gua ini, kami perlu menaiki bot panjang dari pusat taman negara.

Ketika perjalanan menelusuri Sungai Melinau, kami berpeluang singgah ke Pusat Kraftangan Penan, Kampung Batu Bungan. Pengunjung boleh membeli kraftangan hasil masyarakat Penan dengan harga yang sangat berpatutan.

Selepas itu kami meneruskan perjalanan menaiki bot panjang ke Gua Angin. Gua ini dinamakan sempena angin sejuk yang bertiup melaluinya dan dikatakan gua ini adalah tempat kalsit yang berusia jutaan tahun dan membentuk tiang di beberapa ruang dalam gua. Seperti gua lain juga, ia juga memiliki formasi unik batuan, stalagmit dan stalaktit.

Akhir sekali kami ke Gua Air Jernih yang disenaraikan sebagai salah satu sistem gua terbesar di dunia iaitu berukuran lebih 220 kilometer panjang dengan memiliki sistem sungai bawah tanah terpanjang di Asia.

LUBANG Gua Air Jernih.
LUBANG Gua Air Jernih.

Struktur dalam gua sangat menakjubkan kerana terdapat aliran sungai.

Selesai melawat gua, kami berhenti rehat untuk makan tengah hari sambil menikmati pemandangan batuan yang sangat menakjubkan.

Bagi penulis, berpeluang meneroka empat gua di Taman Negara Mulu, pengalaman yang berbaloi kerana dapat menghayati keindahan dan keunikan formasi batuan yang sudah wujud jutaan tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 9:59 AM