BUAT perancangan dengan teliti sebelum menyusun pokok.
BUAT perancangan dengan teliti sebelum menyusun pokok.
Hafiz Ithnin


POKOK hiasan sememangnya mampu memberi aura pesona tersendiri. Apatah lagi, jika ia berada di sesuatu lokasi di kediaman yang mampu menjadi titik fokal.

Ketika ini landskap tanaman hiasan secara menegak atau vertikal pada dinding kediaman menjadi trend dalam kalangan pemilik kediaman dan juga bangunan komersial.

Kewujudan landskap tanam hiasan vertikal itu mampu menjadi titik fokal dan mencuri perhatian bukan saja tetamu malah penghuni atau pengguna ruangan itu.

Justeru, dalam ruangan Dekotaman kali ini kami ingin kongsikan beberapa tip untuk mewujudkan landskap vertikal yang mungkin anda boleh praktikkan secara lakukan sendiri (DIY).

PENGGUNAAN poket tanaman memudahkan aktiviti membuat landskap tanaman menegak.
PENGGUNAAN poket tanaman memudahkan aktiviti membuat landskap tanaman menegak.

1.Poket tumbuhan

Poket tumbuhan kini boleh dibeli di pasaran terutama secara dalam talian dengan harga yang mampu milik. Poket tumbuhan ini membantu memudahkan lagi cara menanam pokok hiasan di dinding secara vertikal kerana ia mudah digantung dalam set poket yang banyak.

Justeru, anda tidak perlu lagi menggunakan pasu kecil untuk menggantung pokok hiasan di jaring besi yang mungkin memakan kos yang lebih tinggi.

Perkara paling penting ialah anda perlu memastikan 'hamparan' set poket tumbuhan itu adalah sesuai dengan ukuran dinding yang anda inginkan.

2.Buat perancangan

Bagi mendapatkan hasil seni susunan landskap vertikal yang menarik, anda boleh lukiskan di atas kertas dahulu dan menulis jenis-jenis tumbuhan yang akan di tanam di dalam poket tumbuhan berkenaan. Ia akan dapat mengelakkan daripada mengambil masa yang lama untuk menyuai padan pokok yang ingin diletakkan di dalam poket tumbuhan berkenaan.

SUSUNAN jenis pokok mengikut warna dan saiz dapat menghasilkan rekaan landskap yang menarik.
SUSUNAN jenis pokok mengikut warna dan saiz dapat menghasilkan rekaan landskap yang menarik.

3.Dapatkan inspirasi susunan

Ketika ini jika anda membuat laman sosial mengenai landskap vertikal terdapat banyak idea yang boleh diperoleh.

Pola susunan pokok tumbuhan antaranya perkara perlu mendapat inspirasi yang betul kerana ia memberi keunikan dan keindahan di akhirnya.

Lebih kreatif anda membuat pola susunan landskap vertikal, ia akan lebih nampak menarik terutama jika bijak bermain dengan warna tumbuhan itu sendiri.

4.Kenal pasti jenis pokok yang sesuai

Jika anda bercadang untuk mempunyai landskap vertikal, perkara paling utama ialah pastikan pokok hiasan itu sesuai dengan persekitaran ia 'didirikan.'

Jika anda meletakkan landskap berkenaan di luar rumah yang mempunyai limpahan cahaya matahari lebih banyak dan terlalu panas, pastikan tumbuhan dipilih adalah dari jenis tahan lasak. Jika tidak, pokok hiasan yang ditanam akan mati kerana terlalu panas.

GUNAKAN kesan lampu limpah untuk landskap pokok hiasan menegak tampak lebih menarik.
GUNAKAN kesan lampu limpah untuk landskap pokok hiasan menegak tampak lebih menarik.

5.Dapatkan kesan khas

Landskap vertikal sebenarnya akan lebih tampak menarik pada sebelah malam apabila dilengkapi kesan khas daripada cahaya lampu limpah.

Pasang lampu limpah yang kecil di sudut landskap supaya ia mampu menjadi titik fokal yang menarik kepada anda atau tetamu yang melihat kerja kreatif anda itu.

Ketika ini, lampu limpah dijual di pasaran terutama di dalam talian dengan harga yang berpatutan membolehkan anda memasangnya sendiri. Jika tidak percaya, cubalah!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 6:31 AM