Hafiz Ithnin


MESKIPUN dari segi keluasan rumah ini tidak begitu besar, namun pasangan suami isteri ini begitu bijak dalam mengatur strategi penataan ruang supaya ia tampak luas selain mampu menyerlahkan aura ketenangan.

Mardhiah Syazwani Md Said dan suaminya, Mohd Afiq Rosli yang memiliki rumah itu sejak Disember lalu turut membuat pelbagai persediaan awal.

Ia termasuk kerja pengubahsuaian dan mendapatkan idea berkenaan hiasan.

Memilih rona kelabu dan putih sebagai tema utama sememangnya memperlihatkan gabungan serasi kerana ia bukan sahaja mampu menjadi elemen yang menampakkan rumah lebih luas, tetapi kemas dan ringkas.

Mardhiah Syazwani berkata, sebelum memutuskan konsep pilihan dia dan suami terlebih dulu memilih rona supaya mudah untuk mengatur jenis perabot serta aksesori lain.

Jelasnya, dia dan suami banyak menjadikan media sosial media sebagai inspirasi yang ketika ini banyak menyajikan pelbagai idea dekorasi.

"Luas rumah saya hanya 750 kaki persegi, tetapi dengan pemilihan rona yang sesuai ramai membayangkan ia bersaiz melebihi 1,000 kaki persegi.

"Apabila memilih warna putih sebagai rona utama pada dinding, ia sekali gus menjadikan rumah kami kelihatan luas," katanya.

Selain itu, Mardhiah Syazwani berkata, dia dan suami juga memilih untuk menempatkan perabot yang tidak terlalu sarat menjadikan ruang tamu khasnya kelihatan luas.

KERTAS dinding tiga dimensi mempunyai kesinambungan gaya dengan ‘kitchen wall splash’.
KERTAS dinding tiga dimensi mempunyai kesinambungan gaya dengan ‘kitchen wall splash’.

"Di ruang tamu saya hanya mempunyai sofa tiga tempat duduk berbentuk L, rak dan televisyen. Manakala di ruang makan pula saya hanya mempunyai meja makan empat kerusi.

"Jumlah perabot yang tidak terlalu banyak juga membantu menjadikan ruang tamu dan ruang makan kami kelihatan luas," katanya.

Tambahnya, untuk memberi kesan luas, dia juga memilih cermin sebagai elemen hiasan dalaman dan ia amat memberi kesan.

"Di dinding ruang makan saya letakkan cermin untuk memberi pantulan ruang. Memandangkan ruang makan terletak berhampiran dapur, saya dan suami memilih penghadang seperti pintu Perancis yang mempunyai cermin telus.

‘WAINSCOTING’ yang dipasang sendiri.
‘WAINSCOTING’ yang dipasang sendiri.

"Dengan adanya penghadang berkonsepkan pintu Perancis, ia kelihatan terdapat suntikan unsur moden sebelum melangkah ke dapur," katanya.

Sememangnya pasangan suami isteri itu mempunyai cita rasa tersendiri dalam menghias bahagian dapur supaya ia kelihatan kemas serta mempunyai kesinambungan rona dengan ruang tamu.

Katanya, dia dan suami memilih kabinet penuh berwarna kelabu serta dinding masih mengekalkan rona putih sebagai tema utama.

"Saya gemarkan kabinet dapur yang bertutup kerana tidak mahu simpanan di dalamnya berhabuk dan lebih nampak kemas.

TEMPAT cucian pakaian yang begitu kemas.
TEMPAT cucian pakaian yang begitu kemas.

"Di dinding dapur pula ada beberapa jenis hiasan kami berdua aplikasikan iaitu hiasan dinding tiga dimensi yang boleh diserasikan dengan 'kitchen wall splash' yang dipasang di dinding kabinet," katanya.

Melihat foto dikirimkan kepada penulis di ruang mencuci pakaian pula ia menarik perhatian kerana ia kelihatan ringkas dan kemas.

Mardhiah Syazwani berkata, rumahnya dilengkapi tiga bilik. Bilik utama menjadi fungsi utama sebagai ruang beradu, bilik kedua dijadikan mini pejabat dan bilik ketiga menempatkan pakaian.

PINTU Perancis menaikkan aura moden dalam rumah.
PINTU Perancis menaikkan aura moden dalam rumah.

Katanya, di bilik tidur pula suaminya melakukan sendiri dekorasi panel dinding (wainscoting) yang sekali gus menjadi titik fokal apabila berada di ruang berkenaan.

"Kami juga dalam perancangan untuk mendekorasi konsep 'wainscoting' di bahagian ruang tamu kerana ia mampu menjadi titik fokal yang menarik.

"Apabila melakukan sendiri, ia juga dapat menjimatkan kos," katanya yang membelanjakan sekitar RM20,000 bagi dekorasi dan kerja mengubah suai rumah yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 7:01 AM