RUMAH Lat menanti kunjungan peminat setia komiknya.
RUMAH Lat menanti kunjungan peminat setia komiknya.
Nurul Husna Mahmud


BAGI penulis yang berasal dari kampung, tidak sukar untuk memahami kehidupan sebagai budak kampung 'sejati' yang mana musim buah banyak dihabiskan bertenggek di atas pokok selain sungai menjadi tempat permainan.

Kisah itu diceritakan Datuk Nor Khalid atau lebih mesra disapa Datuk Lat yang menjadi sebahagian dari kehidupannya sebagai anak kampung sekitar era 60-an.

Pengalaman itu menjadi inspirasi penceritaan komik Kampung Boy yang diterbitkan kali pertama pada 1979.

Namun buat anak zaman sekarang yang menonton mahupun membaca komik itu sukar untuk menghayati asam garam kehidupan budak kampung dan kesederhanaan cara hidup masyarakat desa.

Lihat sahaja dalam komik itu yang mana turut dikongsi ilustrasi rumah berkolong iaitu rumah asli orang Melayu dikelilingi haiwan ternakan dan tanaman termasuk dusun.

Bagi memberi peluang golongan muda menyelami kehidupan karakter 'Mat,' Datuk Lat mengorak langkah merealisasikan Projek Rumah Lat dan Galeri di Batu Gajah, Perak dengan dana penajaan Kementerian Pelancongan dan Warisan Malaysia.

"Projek itu bermula sejak 2011 apabila kerajaan Perak menyediakan sekeping tanah bagi saya mendirikan galeri seni lukis kartun dan komik untuk tarikan pelancongan Perak.

"Pembinaan rumah kayu dan galeri bermula dua tahun kemudian di kawasan baru iaitu Batu Gajah dibiayai Kementerian Pelancongan, Warisan Malaysia.

MENGIMBAU kenangan Datuk Lat dan adik-beradik yang lain.
MENGIMBAU kenangan Datuk Lat dan adik-beradik yang lain.

"Lokasi itu menjadi pilihan kerana tidak jauh daripada lokasi asal dari tempat saya dilahirkan iaitu di Kampung Lalang, Kota Bahru," katanya.

Menjawab persoalan mengapa projek itu tidak dilaksanakan di lokasi asal kampung halamannya, kata Datuk Lat, tapak itu tidak lagi sesuai selain berhampiran kawasan lombong.

"Ramai yang bertanya mengapa saya tidak bangunkan Rumah Lat di tanah kampung, saya rasa ia tidak sesuai kerana keluasan tanah hanya suku ekar selain menjadi kampung 'tinggal' apabila ramai sudah berhijrah ke Ipoh sejak 60-an hingga 70-an," katanya.

Katanya lagi, bahan pameran di Galeri Lat tertumpu kepada hasil lukisan dan tulisan sepanjang kerjayanya selaku kartunis, sementara Rumah Lat pula turut menempatkan barangan peribadi termasuk koleksi keluarganya.

"Rumah Lat menyerupai rumah asal di mana tempat saya dilahirkan. Memang mirip sekali dari binaan struktur anjung sehingga dapur.

PERABOT warisan keluarga melalui proses rawat semula sebelum ditempatkan dalam Rumah Lat.
PERABOT warisan keluarga melalui proses rawat semula sebelum ditempatkan dalam Rumah Lat.

"Mereka yang pernah lihat ilustrasi rumah, boleh lihat rupa Rumah Lat sebijik seperti dalam komik.

"Melengkapkan dekorasi rumah keluarga saya supaya menyamai rumah lama, saya berpakat dengan adik-beradik untuk menyerahkan perabot dan perkakasan serta kami kumpul lalu ditempatkan di Rumah Lat," katanya.

Pengunjung yang berpeluang membuat lawatan dapat merasai serta melihat sendiri kehidupan Datuk Lat dan keluarganya apabila perabot asal ditempatkan di rumah itu.

Ia termasuk set kerusi meja kayu keras, almari, meja solek dan katil pusaka diwarisi dari nenek sebelah bapa kartunis itu .

ILUSTRASI rumah dalam komiknya.
ILUSTRASI rumah dalam komiknya.

"Semua perabot terbabit dipercayai dari 1930. Jadi, semua perabot dilakukan proses rawatan semula selain aksesori seperti pinggan mangkuk dan beberapa labu tanah serta tanduk rusa," katanya.

Selain nilai sentimental iaitu warisan keluarga dalam Rumah Lat, galeri itu turut menjadi ruang pameran sejarah karier dan penceritaan hubungannya dengan beberapa nama besar dalam karier kartunis termasuk editor yang menilai hasil kerjanya.

"Antara koleksi yang dipamerkan di galeri selain lukisan yang saya hantar untuk diterbitkan dalam akhbar, surat antara saya dengan kartunis 'senior' yang juga mentor saya seperti Rejab Had antara bakal dikongsi dengan pengunjung galeri," katanya.

Empat dekad pembabitan beliau dalam kerjaya kartunis berhasil menerbitkan lebih 20 siri komik termasuk Kampung Boy (1979), Town Boy (1981), Mat Som (1989) dan 1979 Kompilasi kartun Keluarga Si Mamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:00 AM