MENIKMATI hamparan awan karpet di Bukit Menara amat puas.
MENIKMATI hamparan awan karpet di Bukit Menara amat puas.
Hafiz Ithnin


AWAN karpet menjadi panorama terbentang luas sebaik sahaja berada di puncak bukit berketinggian sekitar 300 meter itu.

Ternyata pemandangan itu memberi kepuasan kepada warga media dari Kuala Lumpur yang bertandang ke Jeli, Kelantan untuk menikmati keindahan alam semula jadi.

Seawal jam lima pagi lagi penulis bersama deligasi media dibawakan Tourism Malaysia yang menganjurkan Ekspresi Media Kelantan bersedia untuk mendaki Bukit Salor.

Lokasi itu cukup popular dalam kalangan penduduk tempatan bagi menikmati pemandangan awan karpet dan meninjau panorama dari mata burung yang cukup memukau.

Bagi mendaki Bukit Salor ini tidak begitu sukar kerana pengunjung boleh mendaki atau terus memandu sehingga kawasan parkir yang terletak di puncak Bukit Menara.

Sebenarnya Bukit Menara dan Bukit Salor hanya terletak bersebelahan. Namun, untuk tiba di puncak Bukit Salor tiada laluan kenderaan lagi disediakan untuk pengunjung dan perlu mendaki untuk tiba di puncaknya.

Menariknya mengenai destinasi itu ialah pengunjung yang baharu berjinak-jinak dengan dunia pendakian, berkeluarga atau mereka yang tidak pernah mendaki sebelumnya juga boleh ke sana.

PENGUNJUNG perlu mendaki ke puncak Bukit Salor dari Bukit Menara.
PENGUNJUNG perlu mendaki ke puncak Bukit Salor dari Bukit Menara.

Ini kerana laluannya boleh dikatakan agak mudah kerana ada laluan kenderaan dan kemudahan lain seperti tandas untuk pengunjung di kawasan sekitarnya.

Namun, untuk tiba di Bukit Salor itu sendiri yang mempunyai ketinggian sekitar 300 meter itu, pengunjung perlu mendaki antara 30 hingga 45 minit untuk tiba di puncak.

Mengenai panorama awan karpet sekiranya anda mengidamkan untuk melihatnya, sudah pasti perlu berada di kawasan bukit berkenaan sebaik-baiknya sebelum jam 6.30 pagi.

MELIHAT banjaran pergunungan dari puncak Bukit Salor.
MELIHAT banjaran pergunungan dari puncak Bukit Salor.

Bagaimanapun, ketika penulis berada di kawasan itu sekitar jam enam pagi sudah kelihatan beberapa pengunjung lain yang siap sedia dengan kamera masing-masing untuk merakam pemandangan awan karpet.

Kelebihan mengenai panorama di Bukit Salor ialah selain dapat menikmati keindahan awan karpet yang terbentang luas, pemandangan kampung dan Gunung Reng yang menjadi ikon di kawasan itu dapat dilihat dengan jelas.

Malah, pemandangan hijau deretan gunung di hadapannya juga lebih menambah seri panorama aras tinggi yang cukup memukau.

TIDAK lengkap tanpa merakam memori sebaik tiba di Bukit Menara dan Bukit Salor.
TIDAK lengkap tanpa merakam memori sebaik tiba di Bukit Menara dan Bukit Salor.

Tidak sekadar itu, apabila anda hampir tiba di puncak Bukit Salor, sebenarnya ada banyak lokasi menarik untuk merakam gambar dengan kreatif kerana terdapat lalang yang cantik untuk dijadikan nilai tambah dalam karya foto anda.

Memandangkan kawasan itu terbuka dan tidak mempunyai banyak pokok yang tinggi, apabila matahari mula terbit keadaan sekeliling lebih cepat terasa bahang.

Jadi, disarankan jika anda ingin berkunjung ke dua puncak itu hadir seawal yang mungkin supaya tidak berasa begitu panas apabila matahari mula terbit.

PAPAN tanda I Love Bukit Salor menunjukkan anda sudah tiba di kawasan dituju.
PAPAN tanda I Love Bukit Salor menunjukkan anda sudah tiba di kawasan dituju.

Selain itu, pada hemat penulis, lokasi itu juga begitu sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti larian denai kerana bentuk muka bumi yang mencanak bermula dari jalan raya utama menuju puncak Bukit Menara.

Jadi, jika si pelari denai yang berada di sekitar Jeli boleh melakukan latihan ke puncak Bukit Salor dan Bukit Menara yang bukan sahaja mempunyai cabaran tersendiri, malah keindahan semula jadi di sekelilingnya tidak boleh dilupakan.

Tidak sekadar itu, jika anda berminat merakam gambar pemandangan menarik, kedua-dua bukit ini menjanjikan keindahan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 6:20 AM