AKSI lasak Shazlin ketika meniti laluan berair.
AKSI lasak Shazlin ketika meniti laluan berair.
Nurul Husna Mahmud

'Terjelepuk' berkali-kali di laluan sama ketika menuruni air terjun Ulu Perdik, Hulu Selangor antara pengalaman lucu Shazlin Shah yang pertama kali mencuba aktiviti bertali, 'abseiling' baru-baru ini.

Kata Shazlin, dia memilih untuk melakukan aktiviti itu bersama dua rakan lain kerana mahu mengawal perasaan gayat apabila berada pada tempat tinggi.

"Sebenarnya saya cuba aktiviti 'abseiling' ini sebab hendak kawal rasa gayat. Lihat dari kaki air terjun, lokasi aktiviti itu tidaklah begitu tinggi.

"Tetapi apabila berada di atas dan hendak turun, ketar lutut dan bibir juga. Malah rasa macam lama sangat terutama di kawasan air lalu.

"Saya cabar diri untuk lalu trek yang ada air meskipun sebelum itu dah tengok insiden ramai 'terjelepuk' kawasan sama. Memang seperti yang lain, kaki tidak mampu 'grip' (cengkam) kuat di bahagian itu menyebabkan saya turut terjelepuk kawasan sama," katanya

Kata Shazlin, biarpun agak lama untuk imbang diri dan melepasi halangan air itu, namun dia cuba mengambil masa untuk bernafas dan bertenang.

MAHU takluk perasaan takut atau gayat pada ketinggian.
MAHU takluk perasaan takut atau gayat pada ketinggian.

"Kawasan licin ini memang susah hendak pasang 'kekuda' yang membantu menuruni sampai ke kaki air terjun.

"Saya 'sangkut' lama juga di situ untuk beberapa minit. Tetapi jurulatih rekreasi dan pembantu lain sangat sabar serta beri ruang untuk saya atasi masalah itu sendiri.

"Apabila sampai ke bawah, saya berasa lega dan turut ulang aktiviti itu untuk kali kedua kerana keyakinan itu datang selepas percubaan pertama," katanya.

Anggaran ketinggian kata Shazlin, kira-kira dua tingkat bangunan dan kemahiran 'abseiling' terletak kepada kedudukan kaki selain kawalan tali kiri dan kanan tangan.

"Pada awal aktiviti memang jurulatih akan demo dulu kaedah kawalan tali selain menerangkan kedudukan kaki sebaik-baiknya untuk elak kecederaan.

LALUAN abseiling Ulu Perdik bukan sahaja licin tetapi juga berliku.
LALUAN abseiling Ulu Perdik bukan sahaja licin tetapi juga berliku.

"Mereka juga akan bekalkan peralatan keselamatan seperti topi dan tali keselamatan termasuklah 'harness.'

"Bagi persiapan sendiri, saya sarankan anda pakai sarung tangan dan juga pelapik lutut kerana itu boleh mengurangkan risiko kecederaan apabila gagal mengawal tali dengan baik," katanya.

Tip lain turut dikongsi Shazlin ialah perlu bertenang dan lakukan secara perlahan-lahan bagi memastikan ada kawalan pada tali dan kaki.

Selain 'abseiling,' aktiviti sukan bertali lain pernah disertai Shazlin ialah 'zipline' dan 'flying fox.'

Tambah gadis kecil molek itu, aktiviti berkenaan berjaya mengurangkan rasa stres selain dapat bersantai bersama teman ketika hujung minggu.

MERAPATKAN hubungan meskipun dengan kenalan baru.
MERAPATKAN hubungan meskipun dengan kenalan baru.

"Saya sukakan aktiviti rekreasi dan apabila kerajaan mengenakan sekatan terhadap aktiviti seperti ini satu cabaran.

"Jadi saya cuba penuhi dan lakukan joging untuk pastikan diri kekal cergas. Namun mempelbagaikan aktiviti itu penting kerana 'trilled' (cabaran) berbeza bagi setiap aktiviti,"katanya.

Dia kini menceburi sukan berbasikal bagi mengisi masa lapang, Namun terpaksa menunggu untuk aktif selepas Sekatan Pergerakan Penuh (PKP 3.0) bagi menyertai kayuhan bersama komuniti sukan itu.

Selain Ulu Perdik, terdapat beberapa lokasi popular sukan bertali boleh dicuba peminat sukan itu antaranyaSungai Pisang, Gombak, Air Terjun Berkelah, Pahang dan Air Terjun Bonda Mandi, Kedah.

SHAZLIN turut mengambil kesempatan menikmati air terjun.
SHAZLIN turut mengambil kesempatan menikmati air terjun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 6:40 AM