RUANG tamu tampak luas. FOTO: Hairul Anuar Rahim
RUANG tamu tampak luas. FOTO: Hairul Anuar Rahim
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

SEBAIK melangkah masuk dalam rumah Marlia Ramli dan suaminya, Mohd Asri Mohd Yusof di Cheras, Kuala Lumpur, penulis seperti baharu melalui pintu sesuka hati dalam animasi kartun Doremon.

Apabila masuk rumah flat lima tingkat berusia 30 tahun itu, keadaan secara tiba-tiba berubah seolah-olah berada di tempat lain tidak seperti yang dilihat daripada luar bangunan.

Demikian reaksi awal yang sering diterima Marlia dan suaminya apabila tetamu menjengah ke rumahnya itu

Ia bukan perkara yang mudah namun tidak mustahil dilakukan apabila rumah ini didekorasi dengan sentuhan pasangan pereka hiasan dalaman.

Apa tidaknya pasangan suami isteri ini berjaya menjadikan rumah yang hanya berkeluasan 600 kaki persegi yang mempunyai dua bilik dan satu bilik air nampak luas dan selesa menggunakan kreativiti serta ilmu yang dimiliki.

Mereka selesa menggunakan konsep moden kontemporari dengan suntikan 'tropical' yang lebih sebati dengan jiwa mereka selain dapat memanfaatkan keluasan rumah yang terhad namun masih kemas dan menarik.

RONA hijau gelap dan putih serta hiasan warna emas digunakan di dinding utama. FOTO: Hairul Anuar Rahim
RONA hijau gelap dan putih serta hiasan warna emas digunakan di dinding utama. FOTO: Hairul Anuar Rahim

PEMILIK menggunakan konsep moden kontemporari. FOTO: Hairul Anuar Rahim
PEMILIK menggunakan konsep moden kontemporari. FOTO: Hairul Anuar Rahim

Marlia berkata, mereka memilih konsep ini kerana ia lebih selamat dan tahan lebih lama.

Beliau berkata, ketika mula berpindah ke rumah itu pada lapan tahun lalu dan keadaannya boleh dikatakan tipikal seperti rumah flat lain.

"Kami tidak buat terus sebarang pengubahsuaian besar dan banyak menggunakan barang terpakai. Hanya pada 2015 kami mula buat sedikit demi sedikit.

"Hanya pada awal tahun lalu selepas memiliki masa sesuai dan bajet mencukupi kami mula buat pengubahsuaian secara serius termasuk memecahkan dinding bilik air menjadikannya lebih luas.

"Semua proses ubah suai ambil masa setahun dan siap awal tahun ini namun masih ada beberapa penambahan yang akan dibuat termasuk bilik tidur utama," katanya.

Perincian hiasan dalaman dilihat begitu teliti.

BILIK tidur anak dihias mengikut kesesuaian usianya. FOTO: Hairul Anuar Rahim
BILIK tidur anak dihias mengikut kesesuaian usianya. FOTO: Hairul Anuar Rahim

Sebuah cermin besar yang dihasilkan sendiri menghiasi dinding di meja makan, sekali gus menampakkan ruang itu luas.

Di ruang tamu, pemilik menggunakan hanya beberapa perabot seperti sofa, pokok hiasan dan kabinet televisyen supaya ia tidak terlalu sesak.

Pemiliknya memilih warna hijau gelap dengan hiasan besi berwarna emas di dinding utama.

Pada masa sama, Marlia bijak bermain dengan warna putih.

Di ruang makan pula, Marlia menggunakan meja kecil boleh laras untuk menerima tetamu lebih ramai.

Marlia menggunakan panel besi yang ditempah khas untuk memisahkan ruang makan dan dapur.

Biarpun nampak ringkas, ia sudah cukup mewujudkan sempadan kedua-dua ruang terbabit.

Dari meja makan, tetamu boleh melihat keunikan dapur yang menggunakan jubin hitam dan putih bercorak heksagon di dinding yang memperlihatkan kreativiti unik pemiliknya.

MENGGUNAKAN banyak kabinet di dapur untuk keselesaan pemiliknya. FOTO: Hairul Anuar Rahim
MENGGUNAKAN banyak kabinet di dapur untuk keselesaan pemiliknya. FOTO: Hairul Anuar Rahim

Beliau juga menggunakan banyak kabinet berwarna putih untuk menyimpan peralatan dapurnya supaya ruang lebih luas.

Marlia turut menghias bilik air dengan membuat dekorasi tambahan seperti berada dalam sebuah hotel.

Keunikan lain pastinya bilik tidur anak lelakinya, Muhammad Adam Daniyal berusia enam tahun yang cukup aktif dan petah berkata-kata.

Bilik sama turut dijadikan sebagai studio untuk menyiapkan kerja sambil menemani anaknya tidur.

"Saya memilih menggunakan sofa katil untuk menjimatkan ruang yang agak sempit selain pelbagai guna sebagai sofa dan tilam.

"Di dinding saya hasilkan mural kelihatan seperti gunung namun saya ubah sedikit dengan menggunakan reka bentuk geomatrikal untuk disesuaikan dengan batu memanjat tembok yang dipasang di dinding," katanya.

STUDIO untuk Marlia dan suaminya yang ditempatkan di bilik anak mereka. FOTO: Hairul Anuar Rahim
STUDIO untuk Marlia dan suaminya yang ditempatkan di bilik anak mereka. FOTO: Hairul Anuar Rahim

TINGGAL di rumah flat bukan alasan tidak menghias rumah. FOTO: Hairul Anuar Rahim
TINGGAL di rumah flat bukan alasan tidak menghias rumah. FOTO: Hairul Anuar Rahim

Berkongsi panduan untuk membuat dekorasi rumah yang kecil, Marlia menegaskan seseorang itu tiada pilihan untuk bersederhana dalam memilih barang.

"Pilih barang yang perlu sahaja diletakkan di sesuatu tempat. Sebagai contoh di ruang meja makan, hanya perlu ada meja makan tiada tambahan barang lain.

"Apa yang penting adalah 'flow' dan keseimbangan sebab rumah ini kecil, bila orang datang saya pentingkan bagaimana keadaan orang yang datang dalam rumah sempit, jadi saya besarkan laluan tertentu.

"Selain itu, gunakan warna putih untuk nampakkan ruang dalam rumah lebih luas," katanya.

Tambahnya, beliau berharap perkongsiannya di Facebook untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai.

"Tidak kira, kita tinggal di rumah jenis apa sama ada rumah flat, banglo dan sebagainya, kita perlu hargai setiap ruang. Lebih penting isi di dalamnya dan kena kreatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 7:00 AM