Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Lazimnya, ramai yang bergegas mahu segera pulang ke rumah selepas waktu bekerja untuk bersama keluarga.

Namun, tidak buat lima kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yang mana mereka akan menyambung tugas sebagai sukarelawan penjaga jam besar di bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka.

Lima insan hebat itu ialah Mohd Rashidi Jaluddin, 41, Rosdi Hisham Hassan, 42, L Kumarasamy, 45, Muhamad Kamalrul Azman, 38, dan Mohd Rosli Tajuddin, 45.

Mereka memulakan tugas sebagai penjaga jam pada jam 5.30 petang hingga jam 9 malam setiap hari secara bergilir-gilir untuk memastikan jam berusia lebih 125 tahun ini berfungsi dengan baik.

Ketua penjaga jam, Mohd Rashidi berkata, nilai sejarah jam buatan Gillet and Johnston Manufacturers di Croydon, England ini kepada Malaysia membuatkan mereka berminat menjadi penjaga jam berkenaan.

Menurutnya, apatah lagi jam ini menjadi saksi bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan buat julung kalinya di Dataran Merdeka (dahulunya dikenali sebagai Padang Kelab Selangor) pada malam 30 Ogos 1957.

MOHD Rashidi  (dua dari kanan) bersama Rosdi Hisham (dua dari kiri), Kumarasamy  (kanan) dan Muhamad Kamalrul perlu mendaki tangga setinggi bangunan empat tingkat ke menara jam  di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHD Rashidi (dua dari kanan) bersama Rosdi Hisham (dua dari kiri), Kumarasamy (kanan) dan Muhamad Kamalrul perlu mendaki tangga setinggi bangunan empat tingkat ke menara jam di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Untuk memulakan tugas rutin ini, kami perlu mendaki tangga setinggi bangunan empat tingkat ke menara jam itu.

"Terlebih dahulu, kami memastikan persekitaran bilik bersaiz 14 kaki x 14 kaki yang menempatkan jam ini dalam keadaan baik.

"Kemudian, kami naikkan dua batu pemberat berfungsi sebagai kuasa untuk menggerakkan jam dan loceng. Setiap batu pemberat ini seberat 200 kilogram (kg) dan 400kg," katanya.

Mohd Rashidi yang sudah 16 tahun menjadi penjaga jam besar berkata, kebiasaannya mereka mengambil masa satu jam menaikkan batu pemberat ini yang bergantung kepada berapa jauh batu itu turun.

"Selesai rutin ini, kami akan terus berada di bilik berkenaan selama satu atau dua jam untuk memastikan jam berfungsi dengan baik.

"Jam ini menggunakan sistem gear mekanikal yang dikendalikan secara manual setiap hari," katanya.

Menurutnya, uniknya jam ini ialah ia mengeluarkan bunyi loceng mengikut waktu yang boleh didengar dari jauh.

BUNYI loceng menara jam di  bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka boleh didengari dari jauh. FOTO Hairul Anuar Rahim
BUNYI loceng menara jam di bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka boleh didengari dari jauh. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Masyarakat di sekitar bangunan Sultan Abdul Samad sangat prihatin dan mereka akan buat aduan jika jam tidak berfungsi atau waktunya tidak tepat.

"Kami datang ke menara ini untuk menyelenggara semula jam atau melaras waktunya," katanya.

Mohd Rashidi berkata, mereka berlima adalah generasi keempat yang menjadi penjaga jam ini.

Beliau berkata, kemahiran dan teknik penjagaan jam itu dipelajari daripada generasi sebelumnya.

"Penjagaan yang teliti termasuk melakukan penyelenggaraan utama dua kali setahun membantu jam ini tahan lebih lama.

"Hampir 90 peratus keseluruhan jam ini masih mengekalkan barangan asal iaitu tembaga.

"Kami gembira menjadi antara individu yang menjaga 'aset' berharga sejarah negara dan akan terus menjadi sukarelawan selagi terdaya," katanya.

HAMPIR 90 peratus keseluruhan jam di bangunan  Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka ini masih mengekalkan barangan asal yang diperbuat daripada tembaga. FOTO Hairul Anuar Rahim
HAMPIR 90 peratus keseluruhan jam di bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka ini masih mengekalkan barangan asal yang diperbuat daripada tembaga. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 7:30 AM