Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Sanggup mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua kali bagi menggapai impian menyarung seragam Sang Saka Biru.

Itu antara tekad Sarjan M Murugan, 52, selepas gagal mendapat kepujian Bahasa Melayu pada peperiksaan SPM kali pertama.

Menurutnya, dia yang bekerja kilang mengambil cuti dua minggu bagi menjalani peperiksaan SPM.

"Sebelum itu, saya mohon kali pertama menjadi (anggota) polis pada 1988, namun ditolak kerana tidak mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu. Itu syarat wajib kemasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Jadi saya duduki semula SPM kerana minat mendalam menjadi anggota polis," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini.

M MURUGAN. FOTO Hairul Anuar Rahim
M MURUGAN. FOTO Hairul Anuar Rahim

Beliau yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang sejak 2010 berkata, kerjaya polis membolehkannya mendapat pelbagai pengalaman berharga ketika bertugas.

"Antara kes sukar dilupakan ketika mengendalikan kes bunuh seorang lelaki dan mayatnya ditemui di Empangan Semenyih pada 2007. Ketika itu, saya bertugas di IPD Kajang diamanahkan menyelesaikan kes berkenaan.

"Kes ini istimewa kerana dapat diselesaikan susulan penahanan dua suspek termasuk seorang daripadanya dikesan berada di Penjara Tapah, Perak.

"Dengan pengalaman saya mengesan taktik licik suspek yang menggunakan identiti palsu untuk menghilangkan diri bagi mengelak dikesan sejurus selepas kejadian. Namun, tindakannya sia-sia apabila dia ditahan," katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Sementara itu Lans Koperal Annis Baki, 25, pula, bangga apabila menjadi sebahagian daripada komuniti Orang Asli menjadi anggota polis.

Annis berkata, minat beliau menjadi anggota polis tercetus selepas melihat ramai penduduk kampungnya di Kampung Hulu Pareh, Bentong, Pahang, memohon menjadi anggota polis, namun gagal.

ANNIS. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANNIS. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Senario itu menyebabkan saya terpanggil mewakili komuniti kami untuk berkhidmat sebagai anggota polis. Saya rasa tidak ramai dalam kalangan komuniti kami (Orang Asli) menjadi anggota polis.

"Faktor ini mendorong saya mengejar impian menjadi sebahagian daripada warga PDRM," katanya yang bertugas di Bahagian Kaunter Aduan di Balai Polis Puchong Jaya.

Sementara itu, anggota polis berbangsa Cina, Lans Koperal Wong Tack Ming, 30, berkata, dia memasang cita-cita bergelar anggota polis selepas melihat kesungguhan abangnya menceburi bidang sama.

"Saya tahu ramai golongan muda kaum Cina tidak berminat jadi anggota polis. Sebaliknya bagi saya ia adalah kerjaya yang mengajar erti kejujuran, semangat cintakan negara dan keberanian.

WONG Tack Ming. FOTO Hairul Anuar Rahim
WONG Tack Ming. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Saya terus memohon sebaik mengetahui ada temu duga pengambilan anggota polis khas untuk kaum Cina di Kota Kinabalu, Sabah sebelum dimaklumkan berjaya pada 2015," katanya.

Beliau yang bertugas dalam Response Team di Balai Polis Puchong Jaya berkata, golongan muda kaum Cina perlu merebut peluang keemasan menjadi sebahagian warga PDRM dengan kelonggaran diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 9:43 AM