ARMIZAN ketika melawat pameran selepas merasmikan Simposium Kos Sara Hidup 2023. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ARMIZAN ketika melawat pameran selepas merasmikan Simposium Kos Sara Hidup 2023. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Dapatan daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih mendapati kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95 manakala kumpulan B40 secara purata menggunakan RM243 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa Wilayah berkata, dapatan itu membuktikan bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum.

Pada masa sama, katanya, inisiatif subsidi bahan api sudah bermula sejak 2001.

"Subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat value for money (nilai baik untuk wang yang dibayar) kepada perkhidmatan dan barangan yang mereka beli, turut disalahgunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

"Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap.

"Oleh yang demikian, tidaklah wajar untuk kerajaan meneruskan suatu pendekatan yang sememangnya tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan rakyat yang benar-benar perlu dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dibacakan Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali pada majlis perasmian Simposium Kos Sara Hidup 2023 (SCOL 2023), di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga menanggung perbelanjaan yang semakin besar dalam peruntukan subsidi.

"Pada 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM91.9 bilion, satu nilai yang terlalu besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

"Bagi 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun Kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa.

"Senario berterusan sebegini tidaklah optimum dari sudut fiskal dan adalah wajar bagi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sudah dapat membuat penjimatan kira-kira RM4.6 bilion daripada peruntukan subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

Katanya, penjimatan itu susulan langkah kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian subsidi elektrik kepada syarikat-syarikat besar dan isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik pada tahap tinggi.

Namun, pada masa sama beliau berkata kerajaan tetap memastikan kebajikan rakyat terpelihara, di mana 90 peratus isi rumah dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menikmati subsidi elektrik dan kerajaan diunjurkan membelanjakan RM16 bilion untuk elektrik bagi tahun ini.

"Pelaksanaan subsidi bersasar ini bukanlah mudah dan sudah tentu ada cabarannya. Kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi kerana ia akan memberi pelbagai kesan dan impak kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan sektor ekonomi.

"Sebelum pelaksanaan subsidi secara bersasar, kerajaan juga perlu meneliti jangkaan secara langsung terhadap kenaikan kadar inflasi melalui Indeks Harga Pengguna (IHP).

"Kadar inflasi dilihat semakin mereda pada awal tahun ini dan inflasi keseluruhan mencatatkan 1.8 peratus pada bulan Oktober 2023.

"Dalam konteks ini, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk meredakan keresahan rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 1:09 PM