Tan Sri Lim Hock San
Tan Sri Lim Hock San

Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad menerima tempahan yang memberangsangkan untuk Rumah Selangorku Idaman BSP (Idaman BSP) dengan tempahan menghampiri 100 peratus bagi 1,312 unit yang ditawarkan.

Projek berkenaan adalah sebahagian daripada projek Rumah Selangorku Idaman MBI.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, Idaman BSP yang terletak di Bandar Saujana Putra, adalah perbandaran yang sedang berkembang pesat dilengkapi dengan akses mudah ke bandar seperti Cyberjaya, Kota Kemuning dan Puchong serta lebuh raya utama.

"Kami menyasarkan untuk menyiapkan pembangunan Idaman BSP menjelang 2023," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Idaman BSP adalah pelancaran pertama MGB daripada sebahagian enam projek Rumah Selangorku Idaman MBI.

"Kami berazam untuk menyelesaikan isu rumah mampu milik di samping menyumbang kepakaran sistem binaan berindustri (IBS) kami bagi memastikan rakyat Selangor berpeluang untuk memiliki kediaman.

"Kami sedang merancang untuk melancarkan baki lima lagi projek di bawah Rumah Selangorku Idaman MBI menjelang akhir 2022 atau awal 2023.

"Pembabitan MGB dengan menjadi sebahagian daripada projek ini dijangka menyumbang pendapatan yang stabil kepada syarikat, sekaligus merealisasikan harapan kami untuk meningkatkan lagi nilai pemegang saham," katanya.

Projek Rumah Selangorku Idaman MBI adalah inisiatif yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi menyediakan 30,000 rumah mampu milik kepada warga yang layak.

Di bawah inisiatif ini, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan berpendapatan isi rumah antara RM3,001 hingga RM10,000 sebulan serta pembeli rumah kali pertama di Selangor boleh memohon.

Projek ini terdiri daripada rumah kediaman bertingkat tinggi bermula pada harga RM250,000, dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan saiz binaan minimum 1,000 kaki persegi bagi setiap unit.

Unit ini juga dilengkapi dua parkir, tiga penghawa dingin, sebuah set televisyen, kabinet dapur, tiga almari pakaian, sebuah peti sejuk dan dua pemanas air.

MGB telah menjalin usaha sama dengan PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB) pada pertengahan 2019 untuk membentuk Konsortium PCSB-MGB dengan matlamat untuk membina sejumlah 7,210 rumah mampu milik Rumah Selangorku Idaman MBI di lokasi infrastruktur yang strategik.

Rumah mampu milik ini dibina menggunakan teknologi pratuang IBS milik MGB.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:39 AM