RIZAL Nainy. FOTO arkib NSTP
RIZAL Nainy. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: SME Corporation Malaysia (SME Corp) komited bagi meningkatkan jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa pada tahun depan kepada 145 syarikat berbanding 125 syarikat pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rizal Nainy berkata walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19 namun masih ada PMKS tempatan yang berjaya ke luar negara dengan meneroka pasaran antarabangsa.

"Syarikat yang akan dibawa ke luar negara adalah syarikat di bawah industri-industri strategik," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)- SMIDEX 2021 bertemakan "PMKS: Bangkit Kembali!" di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata kemasukan pekerja asing untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja di syarikat PMKS akan bergantung kepada kejayaan prosedur operasi standard (SOP) untuk pekerja warga asing dalam sektor perladangan.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kerajaan telah memutuskan untuk membawa masuk seramai 32,000 warga asing berkerja di sektor perladangan berikutan rakyat tempatan tidak mampu mengisi kekosongan dalam sektor tersebut.

Kabinet meluluskan perkara itu dengan dengan pematuhan ketat SOP oleh Kementerian Kesihatan.

Mengenai perancangan tahun hadapan, Noh berkata, RM74 juta diperuntukkan untuk SME Corp melaksanakan enam program membantu PMKS memulakan perniagaan sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

"Kita akan mengunakan dana dalaman untuk melaksanakan pakej-pakej sedia ada bagi membantu PMKS," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:42 PM