Phnom Penh: AirAsia Cambodia menyasarkan untuk mencapai faktor muatan 85 peratus pada operasi penerbangan domestiknya ke tiga destinasi iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville yang dijadualkan bermula pada 2 Mei 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, AirAsia Cambodia mahu terus merangsang industri penerbangan dan pelancongan Kemboja selaras dengan strategi pengembangan Asean syarikat penerbangan itu.

"Dengan AirAsia Cambodia, kami akan menggunakan dua pesawat A320 ke ketiga-tiga destinasi dan menyediakan penerbangan harian.

"Ini adalah strategi pengembangan kami dengan menyasarkan untuk menghubungkan Kemboja kepada 700 juta penduduk di seluruh Asean dengan tambang yang lebih murah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran AirAsia Cambodia 'Ready for Takeoff', di sini, baru-baru ini.

Acara itu dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kemboja, Chea Oun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Cambodia, Vissoth Nam berkata AirAsia Cambodia akan mengubah cara perjalanan orang ramai di Kemboja dan menjadikan perjalanan udara sebagai sebahagian daripada rangkaian pengangkutan negara dengan menawarkan tambang bernilai hebat, perkhidmatan yang luar biasa dan sambungan destinasi yang kukuh bermula dengan tiga destinasi ini.

"Kami yakin AirAsia Cambodia akan memainkan peranan penting dalam membentuk semula landskap penerbangan negara, menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan dan menyokong aspirasi kerajaan Kemboja untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 7:56 AM