Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Sempena meraikan kejayaan sedekad sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia melalui Anugerah Skytrax Penerbangan Dunia 2018, AirAsia menawarkan promosi tambang istimewa serendah 10 sen bagi pelbagai destinasi penerbangannya.

Ahli BIG AirAsia boleh menikmati tambang asas dari serendah 10 sen itu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Siem Reap, Phnom Penh, Krabi, Phuket dan Pontianak.

Selain itu, mereka juga dapat membeli tiket pada harga tambang asas dari RM100 ke Jeju, Chongqing, Taipei dan Perth.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Siegtraund Teh berkata, tempahan adalah bermula sekarang sehingga 29 Julai ini bagi tempoh perjalanan antara 1 November 2018 sehingga 13 Ogos 2019.

Beliau berkata, pihaknya begitu berbangga apabila dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia untuk kali ke-10 berturut-turut.

“Pencapaian cemerlang ini adalah bukti kepada sokongan dari penumpang AirAsia dan promosi ini adalah salah satu cara untuk kami berterima kasih kepada lebih 500 juta penumpang selama ini.

“Kami akan terus bekerja kerasa dalam memastikan penumpang AirAsia akan terus menikmati kadar tambang yang murah,” katanya, semalam.

Katanya, orang ramai juga boleh memilih untuk terbang bersama Premium Flatbed dari Kuala Lumpur ke Bali, Xi’an, Shanghai, Seoul, Osaka, Sydney dan beberapa destinasi lagi pada tambang serendah RM410.

Katanya, ia boleh ditempah melalui laman webnya di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih AirAsia.

“Anda boleh menempah tambang yang lebih rendah apabila log masuk ke akaun BIG AirAsia,” katanya.

Selain itu, penumpang juga dapat melakukan aktiviti beli-belah sebelum meneruskan perjalanan dengan platform e-dagang terbaru, OURSHOP.

Hanya dengan beberapa langkah mudah, layari ourshop.com untuk sebarang pembelian barang bebas cukai dan boleh mengambil barang berkenaan di lapangan terbang terpilih atau menerimanya ketika penerbangan bersama pesawat AirAsia.

Anugerah Skytrax adalah penanda aras kecemerlangan global syarikat penerbangan dengan lebih 20.36 juta tinjauan pelanggan yang dibuat di lebih 105 negara, mengukur piawaian merentas 49 petunjuk prestasi utama produk dan barisan depan khidmat pelanggan bagi syarikat penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 10:20 AM