AIREEN dan Aziz bersama barisan selebriti popular.
AIREEN dan Aziz bersama barisan selebriti popular.
Oleh Ramlah Zainal


Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan AirAsia X meneruskan tradisi menyambut Ramadan dengan meraikannya bersama golongan kurang bernasib baik sekali gus mengeratkan lagi hubu­ngannya dengan masyarakat dalam majlis berbuka puasa di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain lebih 100 anak yatim daripada empat rumah kebajikan terpilih, acara dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air serta pengamal media tempatan.

Empat rumah kebajikan yang diraikan ialah Pertubuhan Rumah Anak Yatim/Miskin Daerah Kuala ­Langat, Rumah Anak Yatim Opah Hasnah, Klang; Yayasan Sunbeams Home, Kuala Lumpur dan Rumah Kanak-Kanak ini Disayangi (KIDS), Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata, kecemerlangan dan kejayaan AirAsia tentu sukar dicapai tanpa sokongan semua pihak.

“Terima kasih atas segala sokongan diberikan masyarakat kepada AirAsia. Kami berasa bertuah kerana ­AirAsia terus diberkati dan diberikan rezeki untuk membolehkan kami terus memenuhi tanggungjawab sosial dengan berkongsi bersama golongan yang memerlukan,” katanya di majlis berkenaan.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail; Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Berhad Datuk Aziz Bakar; Ahli Lembaga ­Pengarah AirAsia X Berhad Datuk Yusli Mohamed Yusoff dan Pembantu Khas kepada ­Pengerusi Eksekutif AirAsia dan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Edd Razhe.

Lebih 40 artis popular meriahkan majlis buka puasa

Tidak dapat dinafikan, hubungan baik AirAsia dan selebriti popular tempatan sukar dipisahkan sejak dulu.

Malah, syarikat penerbangan tambang murah itu sentiasa menaja program membabitkan artis untuk mempromosikan pelbagai destinasi pelancongan Airasia.

Justeru, tidak hairanlah, majlis berbuka puasa malam itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 40 artis popular antaranya Amy Search, Fauziah Latif, Tasha Shilla, Intan Ladyana, Linda Hashim, Beego, Aizat ­Amdan, Neelofa, Fara Fauzana, Amar Baharin, Amyra Rosli, Juliana Evans, Hanez Suraya dan Kaka Azraff.

Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan persembahan daripada Ratu Dangdut Amelina, Syafinaz, Ajai, Hafiz Hamidun dan artis baru Fahmi.

Tidak ketinggalan, acara yang paling ditunggu-tunggu pada petang itu membabitkan beberapa hadiah cabutan bertuah kepada pihak media yang berupa baucar penginapan hotel, telefon bimbit dan tiket penerbangan.

Paling menarik ialah hadiah cabutan bertuah membabitkan tiket penerbangan ke destinasi terpilih AirAsia X iaitu Sydney, Colombo, Incheon, Chengdu dan Osaka.

Manakala destinasi AirAsia ialah Hong Kong, Goa, Phnom Penh, Lombok dan Chiang Mai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:31 AM